Uncategorized

Adakah Muslimah Dilarang Melaksanakan Ibadah Haji Atau Umrah Ketika Haid

Darah haid adalah darah yang keluar daripada rahim wanita yang sihat, dan tidak ada sesuatu sebab. Menurut kebiasaannya, perempuan akan didatangi haid apabila dia meningkat atau mencecah umur 9 tahun, biasanya ketika berumur 12 tahun. Tempoh keluar darah haid berlaku sekurang-kurangnya sehari semalam dan maksimum 15 hari 15 malam. Apabila lebih daripada 15 hari 15 malam, maka itu bukan darah haid lagi, tetapi dikenali sebagai darah istihadah atau disebut darah penyakit. Sekurang-kurangnya tempoh suci seorang perempuan antara dua haid adalah 15 hari dan tiada tempoh berapa lama waktu suci. Jika seorang perempuan berhenti dan habis tempoh haidnya, maka dia wajib mandi wajib.

Bagaimana Wanita Haid Menunaikan Ibadah Haji atau Umrah?

Haid adalah perkara biasa dalam kehidupan sebagai seorang wanita. Haid akan datang pada setiap bulan satu daripada ciri kewanitaan tulen serta haid adalah lambang kesuburan bagi seorang perempuan. Haid juga tidak menghalang wanita daripada menunaikan semua rukun dan wajib haji atau umrah kecuali tawaf di Baitullah. 

Aisyah meriwayatkan: “Kami keluar dari Madinah untuk menuju ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji. Apabila kami tiba di Saraf, aku didatangi haid. Rasulullah SAW masuk menemuiku ketika aku sedang menangis. Baginda bertanya kepadaku: Kenapa kamu menangis? Adakah kamu didatangi haid? Aku menjawab: Ya! Maka Baginda bersabda maksudnya: Sesungguhnya haid sudah ditentukan Allah ke atas anak perempuan Adam. Maka, tunaikanlah dan lakukanlah apa saja yang biasa dilakukan oleh seseorang yang ingin menunaikan ibadah haji, kecuali tawaf di Baitullah sehingga kamu suci kembali.

Berdasarkan hadis itu, perkara-perkara selain tawaf seperti berniat haji atau umrah, wukuf di Arafah, sa’ie, bermalam di Muzdalifah dan melontar jumrah boleh dilakukan. Wanita yang didatangi haid ketika menunaikan Haji Tamattu’ iaitu sebelum berniat ihram, dia didatangi haid, maka dia hendaklah berniat ihram seperti biasa selepas melakukan perkara sunat ihram seperti mandi dan lain-lain kecuali mendirikan solat sunat ihram. Kemudian dia hendaklah menunggu waktu hingga suci barulah menyempurnakan ibadah umrahnya. Jika haid seorang wanita itu berterusan sehingga tiba waktu wukuf, hendaklah dia berniat dengan ihram haji dan jadilah hajinya Haji Qiran dan diwajibkan dam Qiran.

Bagi wanita yang menunaikan Haji Ifrad atau Haji Qiran, dia hendaklah menyempurnakan semua amalan dan kerja hajinya kecuali tawaf yang hanya boleh dilakukan selepas bersuci. Jika haid berterusan hingga tibanya waktu berangkat keluar dari Mekah, dia mestilah menunda tarikh keberangkatan sehingga dia mandi wajib atau suci dari haid dan mengerjakan tawaf rukunnya. Jika keberangkatannya tidak boleh ditangguhkan dan para jemaah terpaksa berangkat segera, maka apabila sampai ke negerinya atau tanah air mereka sendiri, dia hendaklah melakukan tahallul Ihsar dengan bergunting dan menyembelih seekor kambing dengan niat tahalul Ihsar. Tawafnya dan perkara lain yang belum selesai wajib dilakukan pada masa akan datang.

Kadangkala berlaku masalah darah haid keluar berselang hari. Berdasarkan Imam Syafi’i, darah yang keluar berselang hari tidak melebihi 15 hari 15 malam adalah dikira darah haid. Tempoh itu dikira tempoh datangnya haid. Contohnya, hari pertama hingga kelima darah keluar berturut-turut, tiba-tiba hari keenam tidak keluar, kemudian hari ketujuh hingga ke-10 keluar semula, hari ke-11 dan 13 berhenti kemudian, 14 dan ke-15 keluar semula. Darah yang keluar selepas itu, iaitu selepas hari ke 15 tidak lagi dikira haid.

Dalam keadaan ini, jika para jemaah wanita berniat ihram umrah, kemudian dia didatangi haid sebelum sempat menyempurnakan dan menghabiskan umrahnya. Selepas lima hari, dia melihat darah tidak keluar, dia bersuci lalu pergi menunaikan tawaf, sa’i dan tahalul. Tiba-tiba pada waktu malam dia mendapati darah haidnya keluar semula. Dalam keadaan ini tahallulnya adalah tidak sah. Dia mesti ulangi semula tawaf, sa’i dan tahallul apabila sudah suci daripada haid. Dia juga akan dikenakan Dam Takhyir dan Taqdir kerana mencukur atau mengerat rambut sebelum tiba masanya.

Apakah Hukum Wanita Melewatkan Haid Ketika Haji?

Sesungguhnya haid itu tidak menghalang sedikit pun perbuatan atau perkara-perkara haji melainkan tawaf di Baitullah dan mendirikan solat sesudahnya. Amalan seperti zikir dan berdoa tidak dihalang kepada orang yang dalam situasi dan datangnya haid untuk melakukannya. Selain itu, ia termasuk dalam perkara itu adalah wukuf di Arafah dan Muzdalifah, melontar jumrah serta berdoa di tempat berkenaan. Semuanya itu sudah diberitahu keharusan menunaikannya. 

Imam Malik pernah ditanyakan berkaitan seorang perempuan yang takut haidnya datang lebih awal, lalu dia ingin meminum ubat atau pil pencegah yang dapat melambatkan kitaran haidnya. Kata Imam Malik: “Yang demikian itu bukanlah suatu perkara yang bagus dan tepat. Mengulas kenyataan itu, Imam Malik memakruhkan perkara dan perbuatan itu kerana takutkan wanita berkenaan memasukkan sesuatu yang dapat memberikan mudharat ke dalam tubuh badannya sendiri dan tidak elok untuk rahimnya pada masa akan datang.

Melihat perkara itu secara keseluruhan, penggunaan pil pencegah haid bagi para jemaah wanita atau sesiapa sahaja yang digelar wanita yang menunaikan haji termasuk dalam perkara keduniaan.Hal ini seumpama adalah harus selagi tidak ada dalil yang melarangnya. Sekiranya terbukti dari sudut perubatan penggunaan pil pencegah itu boleh memudaratkan penggunanya dalam jangka masa pendek atau panjang, maka hukumnya berubah daripada harus kepada haram. Nabi SAW bersabda: “Tidak boleh memudaratkan atau saling berbalas memberi mudarat.” Sekiranya penggunaan pil pencegah haid itu tidak mendatangkan sebarang kesan buruk atau mudarat pada seseorang wanita serta tubuh badannya, maka ia kembali kepada hukum asal iaitu harus. Ia turut dianggap sebagai perkara yang memberikan kemudahan kepada para jemaah haji wanita. Firman Allah SWT bermaksud: “Allah mahukan kemudahan untuk kalian dan Dia tidak mahu kesusahan terhadap kalian.”

Ada pandangan kedua dalam Mazhab Syafi’i. Tempoh bersih antara haid itu atau lebih dikenali sebagai Fatrah Naqa’ dikira tempoh suci dan sah amal ibadah yang dilakukan dengan syarat tempoh suci itu sudah melebihi 24 jam. Sebagai contoh, pukul 12 tengah hari dia bersuci kemudian dia menyelesaikan segala perkara-perkara dalam ibadah umrahnya. Pukul 3 petang hari berikutnya darah keluar semula, maka umrahnya itu adalah sah. Namun, jika darah haidnya keluar sebelum pukul 12 tengah hari berikutnya, maka umrahnya adalah tidak sah. Haid adalah sesuatu yang telah ditentukan sejak azali lagi ke atas seorang wanita. Jadi ia tidak boleh dijadikan sebab tidak sempurnanya atau tidak lengkapnya ibadah haji seseorang wanita itu. Haid tidak menghalang untuk wanita menunaikan semua rukun dan wajib haji kecuali tawaf di Baitullah.

Kesimpulan

Kesimpulannya, baca dan fahami tentang perkara haid untuk seseorang wanita itu sebelum dia pergi menunaikan ibadah haji atau umrah. Islam itu mudah, Allah SWT akan memudahkan cara bagi seorang wanita itu untuk menunaikan ibadah dan bertaqwa kepadanya. Semoga apa yang disampaikan ini lebih memberi manfaat kepada kita semua, lagi-lagi pada muslimat di luar sana, InsyaAllah.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *