Uncategorized

Air Zamzam 5 Fakta Menarik Dan Ajaib Yang Orang Tak Tahu

Setiap individu yang tiba ke Masjid Al-Haram, Mekah bagi Ibadah Haji atau Umrah tidak akan melepaskan peluang dalam menikmati air zam-zam yang terdapat di sana. Air zam-zam merupakan salah satu tanda kemuliaan yang terdapat di Bumi Mekah Al-Mukarramah yang dilimpahi dengan kelebihan-kelebihan bagi indidvidu yang minum air zam-zam. Ia juga dikenali dengan pelbagai nama yang jarang diketahui sehingga mempunyai lima puluh nama antaranya ialah Zamzam, Barakah, Mubarakah, Barrah, Busyra, Thahirah, Tuktam, Maktumah, Haramiyyah, Sabiq Salimah dan lagi empat puluh nama lain yang.

Air zam-zam ini hanya boleh didapati Kota Mekah, Arab Saudi dan air ini tidak pernah kering atau habis. Allah S.W.T memperlihatkan kepada hamba-Nya betapa mulianya air zam-zam yang manusia boleh perolehi dengan terdapat banyaknya nama dan sifat bagi perkara tersebut. Ia adalah sebaik-baik air di muka bumi ini seperti yang disebut oleh Al-Fakihi dalam Akhbar Makkah. Air zam-zam memiliki kelebihan, keberkatan dan keistimewaan yang tidak terdapat pada air-air lain seperti yang terdapat dalam hadis-hadis Nabi Muhammad S.A.W antaranya:

MENYEMBUHKAN PENYAKIT DENGAN IZIN ALLAH S.W.T

Ia merupakan air yang terbaik di muka bumi dan boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dengan izin Allah S.W.T seperti yang disebut daripada Ibnu Abbas R.A dalam sabda Nabi Muhammad S.A.W, ‘Sebaik-baik air ada yang dimuka bumi ini ialah air zamzam. Teradapat di di dalamnya zat makanan (orang yang meminumnya akan berasa kenyang seperti memakan makanan) dan penyembuh daripada penyakit) [Al-Fakihi, Akhbar Makkah 2/41]. Air Zamzam digunakan secara meluas dalam rawatan penyakit sihir dan ruqyah dimana ia salah satu ikhtiar dalam merawat penyakit tersebut dan usaha dalam mengamalkan air zamzam ini juga bersandarkan kepada sudut naqli yang terdapat dalam Al-Quran dan Hadis yang telah menyatakan air zamzam sebagai penawar penyakit dengan izin Allah S.W.T.

AIR ZAM-ZAM MENGENYANGKAN

Antara keberkahan air zam-zam selain memberikan tenaga dalam tubuh badan, ia berfungsi seperti makanan dimana dengan minum air zam-zam, ia akan mengenyangkan peminumnya seperti yang terdapat dalam kisah Abu Zar (Jundub bin Junadah) al-Ghifari R.A dimana dia telah datang ke Mekah sehingga bertemu dengan Rasulullah S.A.W dan memeluk Islam. Dan Baginda, Rasulullah S.A.W bertanya kepadanya, “Sejak bila kamu berada disini?” dan dia menjawab, “Semenjak 30 hari yang lalu.” Rasulullah S.A.W bertanya lagi, “Siapa yang memberi kamu makanan?” lalu Abu Zar menjawab, “Saya tidak mempunyai makanan dan saya hanya meminum air zam-zam sahaja. Tetapi saya berasa semakin gemuk dan tidak berasa lapar.” Boleh di lihat di dalam kisah ini bahawa air zam-zam mengenyangkan lagi orang yang meminumnya seperti yang di sebut di dalam sabda Rasulullah S.A.W, “Sesungguhnya zam-zam merupakan air yang diberkati. Sesungguhnya ia mengandungi zat makanan (orang yang meminumnya akan berasa kenyang seperti memakan makanan).”

BAGUS UNTUK KULIT TUBUH SERTA MENGUATKAN TULANG DAN GIGI

Selain dapat mengenyangkan orang yang meminumnya, kelebihan dari segi saintifik, air zam-zam juga bertindak dalam menjaga kesihatan kulit tubuh badan. Kandungan pH yang cukup tinggi di dalam air zam-zam membantu dari segi menghasilkan sel-sel kulit mati dengan lebih cepat dan di gantikan dengan kemunculan sel-sel kulit baru. Dengan cara berwudhu menggunakan air zam-zam iaitu dengan membasuh muka, tangan dan kaki, ia membantu proses regenerasi kulit berjalan dengan lebih lancar. Selain bagus untuk kulit, ia juga bermanfaat dalam menguatkan tulang dan gigi. Kadar kandungan kalsium dan garam magnesium yang mencukupi dalam air zam-zam dapat membantu mencegah masalah pereputan berlaku sebelum waktunya jika diamalkan dengan kerap.

MENGEMBALIKAN KESEGARAN DAN MENINGKATKAN METABOLISMA DALAM TUBUH BADAN

Terdapat empat bahan galian yang berunsur kimia di dalam air zam-zam iaitu kalium, kalsium, magnesium dan natrium. Kekuatan air zam-zam ini terdapat bahan galian yang berkhasiat di dalamnya. Dengan adanya kandungan kalium dan magnesium yang cukup, kekuatan air zam-zam dapat bermanfaat dalam mengembalikan kesegaran tubuh badan serta memulihkan tenaga manusia yang lemah. Selain itu, antara kandungan lain yang terdapat di dalam air zam-zam ialah mineral yang sangat bagus dalam mengoptimumkan proses metabolisma tubuh yang berfungsi untuk menukarkan zat-zat di dalam tubuh badan seperti lemak. Lemak tersebut akan bertukar menjadi tenaga, maka tubuh badan manusia akan mempunyai tenaga dalam menjalankan aktiviti seharian.

MUKJIZAT AIR ZAM-ZAM BERGANTUNG KEPADA HASRAT SI PEMINUMNYA (DENGAN IZIN ALLAH S.W.T)

Daripada Jabir bin Abdullah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda, “Air zam-zam itu untuk sebarang tujuan (niat) orang yang meminumnya (dengan izin Allah S.W.T).” [Sunan Ibn Majah, no. 3062]. Keistimewaan dan mukjizat air zam-zam ini boleh diperolehi atas niat individu yang meminumnya seperti yang disebut di dalam Hadis Rasulullah S.A.W, jika individu itu mempunyai hasrat dalam sesuatu, contohnya, minum air zam-zam dengan niat untuk menguatkan ingatannya dengan hafalan, dengan izin Allah S.W.T, ia akan benar-benar terjadi. Oleh yang demikian, setiap kali minum air zam-zam, niatlah apa yang kita kehendaki kerana Allah S.W.T. Semoga dengan mengamalkan air zam-zam dengan niat yang murni, ia akan dikabulkan oleh Allah S.W.T.

Betapa istimewanya air zam-zam ini sehingga ia digunakan untuk mencuci hati Nabi Muhammad S.A.W. Daripada Abu Zar RA, bahawa Nabi Muhammad S.A.W bersabada, “Maka Jibril AS turun lalu membelah dadaku, kemudian dia (Jibril) mencucinya dengan air zam-zam.”[Riwayat Al-Bukhari, 1636]. Secara kesimpulannya, air zam-zam ini merupakan rahmat dari Allah S.W.T yang mempunyai kelebihan dan mukjizat yang kita boleh perolehi dengan minum atau mengamalkannya.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *