Uncategorized

Apa Itu Umrah?

Ibadat umrah merupakan salah satu daripada rukun Islam yang kelima. Ianya menjadi kemuncak penzahiran ubudiyyah seorang hamba kepada Allah. Artikel ini  akan berkongsi mengenai apa itu Umrah dan menerangkan dari sudut pengertian, rukun dan syarat wajib umrah. Sejarah umrah ini bermula daripada Nabi Muhammad SAW yang ingin melakukan ibadat haji untuk kali pertama. Pada tahun ke-6 Hijrah, Baginda bersama 1500 para sahabat ingin melakukan ibadat haji di Makkah. Mereka berangkat ke Makkah dengan berpakaian ihram dan membawa unta untuk dijadikan sebagai haiwan korban.

Akan tetapi, perjalanan ibadat mereka tidak berhasil sama sekali kerana Nabi dan para sahabat dihalang oleh kaum Quraisy di Hudaibiyah. Tempat inilah yang menjadi saksi perundingan di antara Nabi dan kaum Quraisy yang dikenali sebagai ‘Perjanjian Hudaibiyah’. Jadi, apakah maksud umrah serta hukum dan dalil yang menggariskan dan menjelaskan tentang kewajiban menunaikan ibadah umrah ini?

Apa itu Umrah Dari Segi Pengertian?

Umrah dari segi bahasa ialah ziarah. Dari segi syara’ pula bermaksud menziarahi Baitullah Al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadah tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu. Umrah juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’. Namun begitu, ada masanya kita sebagai umat Islam tidak boleh menunaikan umrah iaitu ketika menunaikan haji. Hukum mengerjakan umrah adalah wajib sekali seumur hidup apabila telah memenuhi syarat-syaratnya. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud:

“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah”.

Syarat-syarat Wajib Umrah

Islam telah menggariskan lima syarat wajib untuk seseorang yang ingin menunaikan ibadah umrah. Antaranya ialah Islam, baligh, berakal, merdeka dan berkemampuan. Seperti yang kita semua tahu, mengerjakan haji dan umrah bagi yang berkemampuan merupakan Rukun Islam yang kelima. Hal ini bermaksud umrah merupakan salah satu kegiatan dalam agama Islam yang disarankan kepada Muslim yang “mampu” sahaja.

Berkemampuan yang dimaksudkan disini terdiri daripada dua kategori iaitu berkemampuan pada diri sendiri dan berkemampuan dengan bantuan daripada orang lain. Berkemampuan pada diri sendiri seperti cukup perbelanjaan dan nafkah tanggungan, sihat tubuh badan dan lain-lain. Manakala, berkemampuan dengan bantuan daripada orang lain pula seperti sakit yang tiada harapan untuk sembuh, terlalu tua/uzur serta meninggal dunia dan mampu mengerjakan umrah semasa hayatnya.

Rukun Umrah Yang Telah Digariskan Oleh Islam

Rukun umrah yang diwajibkan dan dijelaskan dalam Islam ada lima perkara.

Pertama: Niat ihram umrah. Lafaz niat adalah seperti berikut: “Sahaja aku menunaikan umrah dan berihram dengannya kerana Allah Taala”.

Kedua: Tawaf umrah. Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali pusingan bermula dari sudut Hajarul Aswad. Terdapat beberapa syarat sah tawaf seperti menutup aurat, suci daripada hadas besar dan kecil, mengekalkan niat tawaf, cukup tujuh pusingan dengan yakin dan lain-lain.

Ketiga: Saie umrah. Sa’ie memberi maksud berjalan ulang-alik atau berlari-lari anak di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak tujuh kali. Perbuatan sa’ie juga mempunyai syarat sah seperti bermula dari Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah, cukup tujuh kali ulang-alik dengan yakin, hendaklah dilakukan ditempat yang disediakan.

Keempat: Bergunting atau bercukur. Dalam rukun umrah ini, hendaklah kita menanggalkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Disunatkan kepada jemaaah lelaki untuk bercukur.  Perbuatan ini hendaklah dilakukan setelah selesai tawaf dan saie umrah.

Kelima: Tertib. Iaitu mengerjakan rukun-rukun umrah mengikut susunan bermula daripada niat, tawaf, sa’ie, bercukur atau bergunting.

Sebagai pengetahuan umum, rukun umrah merupakan perkara asas dan umum yang mesti ditunaikan oleh orang yang melaksanakan ibadah asasi umrah. Jika tidak ditunaikan sama ada sengaja ataupun tidak sengaja maka tidak sah atau terbatal umrah tersebut.

Apa Itu Wajib Umrah?

Wajib umrah pula mempunyai dua perkara iaitu berniat ihram di Miqat dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang semasa ihram. Miqat bermaksud sempadan bagi ibadat haji ataupun umrah. Sekiranya berniat melepasi Miqat, jemaah umrah dikehendaki untuk membayar dam iaitu denda. Terdapat tiga belas larangan ihram yang wajib kita semua ketahui antaranya adalah dilarang membunuh binatang, dilarang merosakkan tanam-tanaman, dilarang memotong kuku dan macam-macam lagi.

Syarat-syarat Tawaf

  • Suci daripada hadas besar dan kecil
  • Suci daripada najis pada pakaian, badan dan tempat tawaf
  • Menutup aurat seperti mana di dalam solat.
  • Tawaf hendaklah dimulakan pada sudut Hajarul Aswad.
  • Sewaktu berjalan melakukan tawaf, Baitullah hendaklah sentiasa berada di sebelah kiri bahu.
  • Berjalan itu dengan tujuan untuk tawaf.
  • Cukup tujuh pusingan dengan yakin
  • Tawaf itu hendaklah dilakukan di dalam masjid dan di luar dari bahagian Kaabah.

Sunat-Sunat Tawaf

  • Tawaf dengan berjalan kaki.
  • Berittiba’ (memakai pakaian ihram dalam keadaan membuka bahu sebelah kanan) bagi jemaah lelaki sepanjang tawaf.
  • Berlari-lari anak bagi lelaki pada pusingan pertama, kedua dan ketiga. Pada pusingan keempat hingga ketujuh jemaah lelaki berjalan seperti biasa.
  • Membaca doa dan wirid.
  • Tujuh pusingan berturutturut  tawaf tersebut.
  • Tawaf dengan tawadu dan khusyuk

Selain menyempurnakan ibadah umrah, jemaah yang baru kali pertama menunaikan ibadat itu teruja untuk mengetahui apakah aktiviti yang bakal dilaksanakan sepanjang kira-kira 10 hari di Tanah Suci. Ramai yang ingin mengetahui lokasi bersejarah dan menarik yang boleh dikunjungi di Tanah Suci sepanjang menunaikan umrah. Ada juga bertanya mengenai cara bersedekah, peluang untuk menyambung pelajaran, mencari pekerjaan, menetap di situ, mencari kenalan baru dan membuka perniagaan. Tidak kurang juga yang mahu perbanyak doa di depan Kaabah, menziarahi makam Nabi Muhammad S.A.W, bertaubat dan melipatgandakan ibadat di masjid.

Ziarah Dalam

Ziarah di Madinah terbahagi kepada dua iaitu ziarah dalam dan ziarah luar. Ziarah dalam adalah menziarahi Masjid Nabawi, makam Nabi Muhammad S.A.W, makam sahabat iaitu Saidina Abu Bakar al-Siddiq dan Saidina Umar al-Khattab. Sampaikan salam kepada Rasulullah dan sahabat ketika menziarahi makam dan ketika di Raudhah, banyakkan berdoa di taman syurga itu. Untuk mengenali Raudah, pastikan anda sudah memijak permaidani berwarna hijau muda. Sejurus berada di situ, berdoa dan jika keadaan tidak sesak, eloklah bersolat sunat dua rakaat.

Raudhah adalah tempat di antara mimbar dengan makam Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: “Di antara rumahku dan mimbarku adalah Raudhah (taman) dari taman-taman syurga dan mimbarku di atas telaga kautsarku.

“Untuk jemaah wanita, laluan masuk ke Raudhah adalah dari pintu 25. Tempoh masa untuk ke Raudhah bagi jemaah wanita terbahagi kepada tiga sesi dari jam 7 pagi hingga 11 pagi, 1 tengah hari hingga 3 petang dan 9 malam hingga 11 malam. Suatu ketika dahulu, kunjungan ke Raudhah tidak diiringi muzahwirah atau mutawif tetapi sekarang sebahagian besar pengendali umrah menyediakan khidmat itu, sekali gus memudahkan jemaah untuk memasuki Raudhah yang seringkali sesak. Bersabarlah jika mahu ke Raudah. Tidak rugi bersabar dan menjadi kumpulan jemaah terakhir memasuki Raudhah kerana laluannya lebih mudah dan lapang, sekali gus memudahkan jemaah untuk bersolat sunat dengan tenang.

Ziarah Luar

Merangkumi beberapa lokasi di luar Masjid Nabawi iaitu Masjid Quba, Masjid Qiblatain, Jabal Uhud dan makam syuhada’ Uhud, Ladang Tamar dan pekuburan Baqi’.

Masjid Quba: Masjid pertama yang dibina oleh Rasulullah S.A.W ketika berhijrah dari Makkah ke Madinah. Sabda Nabi Muhammad bermaksud: “Sesiapa yang pergi ke Masjid Quba’ dari rumahnya dalam keadaan berwudhu dan solat sunat dua rakaat di dalam masjid berkenaan, ganjarannya satu pahala umrah.”

Masjid Qiblatain: Pernah dikenali sebagai Masjid Bani Salamah. Namanya ditukar kepada Masjid Qiblatain kerana turunnya ayat yang memerintahkan agar Nabi Muhammad menghadap ke Kaabah ketika bersolat. Sebelum itu, Rasulullah dan sahabat bersolat menghadap ke Baitul Maqdis.

Uhud: Satu-satunya bukit di dunia ini yang akan masuk ke syurga. Setiap kali menjejakkan kaki ke Uhud dan sekitarnya, hati terasa sayu. Perang Uhud tercetus pada tahun 625 Masehi dengan jumlah Islam 700 orang manakala kafir Quraisy 3,000. Kekalahan pada peperangan itu turut mengorbankan 70 tentera Islam dan Rasulullah mengalami kecederaan serta patah gigi geraham Baginda.

Ladang Tamar: Destinasi popular untuk jemaah dari serata dunia berbelanja tamar, kacang dan manisan. Jemaah juga berpeluang menikmati teh sambil bersantai di persekitaran ladang tamar.

Pekuburan Baqi’: Tanah perkuburan penduduk Madinah dan mereka yang meninggal dunia di Madinah. Isteri-isteri Rasulullah dan anak cucu Nabi Muhammad disemadikan di situ. Dianggarkan 10,000 sahabat bersemadi di tanah perkuburan berkenaan. Tempat yang dinyatakan paling sering dikunjungi jemaah haji dan umrah. bagaimanapun, ada lagi lokasi bersejarah yang tidak dikunjungi tetapi mungkin jemaah dibawa melaluinya seperti Masjid Jumaat, Masjid Ghamama dan Masjid Al-Fath. Masjid Jumaat terletak tidak jauh dari Masjid Quba dan di masjid itu solat Jumaat yang pertama didirikan dan pada waktu itu jumlah jemaah yang mengerjakannya adalah 40 orang.

Sebelum Pulang Dari Kota Suci Mekah

Sebelum meninggalkan kota suci Mekah, jemaah wajib melakukan tawaf wada dengan mengikuti syarat-syarat dan sunat-sunat tawaf yang telah dinyatakan dan disebutkan sebelum ini. Niatnya adalah “Sahaja aku tawaf wada tujuh keliling kerana Allah taala”.

Tawaf wada ini dilakukan selepas segala persiapan untuk pulang ke tanah air sudah dilakukan seperti beg-beg sudah dimasukkan, urusan beli-belah sudah selesai dan urusan lain. Tawaf wada ini terdapat sikit perbezaaan dengan Tawaf umrah, iaitu memakai pakaian biasa dengan menutup aurat. Bukan memakai kain ihram. Tidak melakukan ittiba’ atau membuka bahu sebelah kanan bagi lelaki sebab jemaah memakai pakaian biasa. Tiada perbuatan berlari lari anak bagi lelaki pada pusingan pertama, kedua dan ketiga dan seterusnya.

Kesimpulan

Kesimpulannya, terdapat banyak kelebihan pada sesiapa yang menunaikan ibadah umrah ini. Antaranya, mendapat gelaran ‘tetamu Allah’, doa-doa akan dikabulkan, dapat menghayati sirah Nabi serta hubungan sesama umat Islam akan terjalin dengan lebih erat. Semoga perkongsian dalam artikel ini dapat memberi manfaat dan pengetahuan kepada semua dan juga bakal jemaah yang akan menunaikan ibadat Umrah pada suatu hari nanti.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *