Uncategorized

Apakah Hukum Melaksanakan Ibadah Haji Mahupun Umrah Melalui Pinjaman

Rukun Islam yang ke-5 adalah menunaikan ibadah haji ke Baitullah atau Masjid Al-Haram. Ianya bermaksud menjadi tetamu ke tanah suci untuk melaksanakan amal ibadah sesuai dengan syarat, rukun, dan waktu yang telah ditetapkan. Ibadah haji ditetapkan untuk muslim yang mampu. Maksud mampu atau kuasa iaitu mempunyai persediaan yang cukup untuk pergi dan persediaan bagi keluarga yang ditinggalkannya. Sama seperti dengan umrah yang boleh dilakukan pada bulan-bulan lain selain bulan Dzulhijjah. Ibadat haji terdiri daripada menyucikan dosa-dosa, ia juga merupakan bekalan yang tepat dan penting untuk menuju akhirat setelah sekian lama kita sebagai umat Islam hidup di dunia ini. 

Sesungguhnya mereka yang menunaikan ibadah haji dan umrah sanggup mengorbankan dan berbakti harta benda, wang dan jiwa raga untuk memperhambakan diri mereka dengan sebenar-benarnya kepada Allah, mereka tergolong dalam golongan yang telah mendapat petunjuk dan hidayah serta ketinggian martabat iman di sisi Allah. Haji dan umrah merupakan satu perkara dan kegiatan rohani serta moral yang di dalamnya terdapat pengorbanan, ungkapan rasa syukur, membuat kebajikan dengan kerelaan hati, melaksanakan perintah Allah, serta mewujudkan pertemuan besar dengan umat Islam lainnya dari seluruh dunia yang berniat untuk menjadi tetamu Allah pada suatu hati nanti.

Pengertian Umrah

Umrah dari segi bahasa ialah ziarah. Dari segi syara’ pula bermaksud menziarahi Masjid Al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu. Umrah juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’. Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja yang diingini oleh seseorang individu. Namun begitu, ada masanya kita tidak boleh menunaikan umrah iaitu masa menunaikan haji. Menunaikan umrah adalah ibadat seumpama seseorang itu mempersembahkan dirinya kepada Allah SWT. Sudah semestinya setiap masa ketika berada di sana akan digunakan sebaiknya untuk beribadat.

Pengertian Haji

Haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Manakala dari segi istilah bermaksud mengunjungi Masjid Al- Haram (Kaabah) pada masa-masa tertentu pada bulan haji, iaitu Zulhijah serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji. Haji merupakan salah satu dari rukun Islam dan menjadi kewajiban kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya dan melaksanakannya dikira wajib hanya sekali seumur hidup jika dilakukan lebih dari itu maka ia dikira sunat. Haji terdiri dari 3 jenis antaranya ialah Haji Ifrad, Haji Tamattu’ dan Haji Qiran. 

Haji Ifrad ialah mengerjakan ibadah haji dahulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan Umrah. Haji Tamattu’ adalah mengerjakan umrah dahulu dalam bulan-bulan haji kemudian mengerjakan ibadah haji di tahun yang sama. Dan Haji Qiran ialah berniat ihram haji dan umrah serentak pada bulan haji, kemudian melaksanakan semua rukun dan wajib haji. Umrah pula dikira selesai sebaik selesai menunaikan Haji. Dalam mengerjakan ibadah haji, ia memerlukan tenaga yang lebih banyak berbanding dengan mengerjakan ibadah umrah. Hal ini kerana ibadah haji memakan masa yang lebih lama berbanding mengerjakan ibadah umrah. Seseorang haruslah meningkatkan tahap ketahanan fizikal sekiranya ingin mengerjakan ibadah haji kerana ia terbukti kegiatan atau aktiviti yang dilakukan semasa mengerjakan ibadah haji lebih banyak berbanding dengan mengerjakan umrah.

Hukum Menunaikan Umrah

Merujuk kepada persoalan di atas,  Hukum mengerjakan umrah adalah wajib sekali seumur hidup apabila telah memenuhi syarat-syaratnya. Namun, ibadah umrah ini dikira sunat untuk dikerjakan secara berulang-ulang kali. Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum melaksanakan umrah adalah wajib atau fardu bagi orang yang belum melaksanakan sementara dia mampu untuk melaksanakannya. Ini kerana terdapat banyak kelebihan yang telah dijanjikan kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan. 

Hukum Menunaikan Haji

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang kelima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim yang cukup syarat.. Justeru, setiap muslim mestilah menanam di dalam hati serta berazam untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut.

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Namun, ibadah haji dan umrah ini dikira sunat untuk dikerjakan secara berulang-ulang kali.

Hukum Melaksanakan Ibadah Haji dan Umrah Melalui Pinjaman

Sejahat mana pun kita hidup sebagai umat islam, seleka mana pun kita tentang dunia pastinya ada tersemat di dalam diri kita untuk menunaikan Haji atau Umrah di tanah suci Makkah. Bagi mereka yang berkemampuan mengeluarkan belanja dan modal untuk menunaikan ibadah haji itu bukanlah perkara yang besar untuk mereka. Adapun di antara mereka yang lebih mengutamakan melancong ke luar negara dahulu daripada menunaikan perkara wajib iaitu menunaikan Haji atau Umrah bagi mereka yang sudah berkemampuan. Kita tidak tahu bagaimana mereka mencari rezeki untuk pergi menunaikan Haji atau Umrah. Ada di antara mereka yang sanggup berhutang untuk pergi ke Haji atau Umrah. Merujuk kepada persoalan di atas, hukum melaksanakan ibadah haji melalui pembiayaan atau pinjaman institusi kewangan adalah dibolehkan dan diharuskan. Namun begitu, pelaksanaan ibadah haji atau umrah dengan cara ini mestilah mematuhi beberapa syarat yang telah ditetapkan seperti berikut:

Pertama: Pinjaman kewangan yang dilakukan itu tidak mempunyai unsur-unsur riba. Ini kerana hukum riba telah jelas dinyatakan haram di dalam Al-Quran. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.” (Surah al-Baqarah: 275)

Kedua: Mempunyai pendapatan yang melebihi persaraan diri serta orang yang di dalam tanggungannya untuk melunaskan hutang dan perbelanjaan dalam mengerjakan ibadah haji. Justeru, barangsiapa yang tidak mempunyai lebihan wang daripada pendapatannya atau pendapatannya hanya cukup-cukup untuk kehidupan kesehariannya maka kewajiban untuk melaksanakan ibadah haji tergugur daripadanya sekalipun dia mengambil pinjaman daripada institusi kewangan yang berkaitan. 

Ketiga: Pinjaman yang dilakukan itu dibuat di atas dasar menyegerakan perintah Allah SWT di dalam melaksanakan rukun Islam semata-mata. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَرَادَ الْحَجَّ فَلْيَتَعَجَّلْ فَإِنَّهُ قَدْ يَمْرَضُ الْمَرِيضُ وَتَضِلُّ الضَّالَّةُ وَتَعْرِضُ الْحَاجَةُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang ingin menunaikan ibadah haji maka bersegeralah untuk menunaikannya kerana tidak diketahui bila masa sakit atau kematian itu menyerang seseorang atau kendaraannya hilang ataupun datang keperluannya yang lain.” Riwayat Ibnu Majah (2883). 

Sebenarnya tidak perlulah kita berhutang untuk mengerjakan haji atau umrah. Orang yang terpaksa berhutang untuk mengerjakan haji dan umrah menunjukkan bahawa ia masih belum mampu dari segi kewangan dan lain-lain. Ibadah haji tidak wajib melainkan apabila seseorang itu telah mampu.

Firman Allah (bermaksud);

“Dan di antara kewajipan manusia terhadap Allah ialah melaksanakan ibadah haji ke Baitullah iaitu bagi orang-orang yang mampu mengadakan perjalanan ke sana” (Ali Imran, ayat 97). Kemampuan termasuklah dari segi kewangan merangkumi kos pengangkutan ke Tanah Suci, perbelanjaan diri sendiri di sepanjang perjalanan haji dan perbelanjaan orang-orang yang wajib dinafkahinya selama tempoh ia pergi mengerjakan haji. 

Walaupun tidak digalakkan berhutang, namun jika seseorang itu meminjam atau berhutang untuk mengerjakan haji atau umrah, para ulama’ menegaskan; hukumnya adalah harus (yakni tidak haram dan tidak juga makruh, walaupun yang terbaik ialah tidak membuat sebarang pinjaman) dan haji atau umrahnya sah (jika memenuhi rukun-rukun dan syarat-syarat yang ditetapkan) serta gugur kewajipan haji atau umrah darinya. Hendaklah dipastikan pinjaman itu bukan pinjaman yang berunsurkan riba. 

Kesimpulan

Kemampuan menunaikan haji atau umrah merupakan salah satu syarat wajib yang harus dipenuhi bagi setiap muslim yang ingin menunaikannya. Oleh itu, bagi sesiapa yang tidak berkemampuan dari pelbagai segi maka gugurlah kefardhuan haji ke atasnya disebabkan kekurangan yang dimilikinya. Namun begitu, bagi mereka yang mampu untuk membuat pinjaman maka dibolehkan baginya untuk melaksanakan ibadah haji. Walaubagaimanapun dengan cara ini hanya dibolehkan bagi mereka yang yakin dan mampu untuk membayar semula pinjaman yang telah dipinjamnya apabila pulang dari menunaikan ibadah tersebut.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *