Uncategorized

Apakah Manfaat Dunia dan Akhirat Mengerjakan Umrah Dan Haji?

Ibadah haji dan umrah merupakan salah satu ibadah dan perintah yang penting daripada Allah kepada seluruh umat Islam di muka bumi, ini kerana ibadah haji dan umrah itu sendiri adalah merupakan salah satu daripada rukun Islam. Sebagaimana yang kita tahu solat itu tidak akan sempurna jika tidak ada rukun yang lengkap, begitu jugalah Islam tidak akan sempurna tanpa ibadah yang barakah ini. Oleh itu, perkara ini perlu dititik beratkan amalan ibadah haji dan umrah dapat dilakukan mengikut tertib atau sunnah yang betul agar ianya diterima oleh Allah SWT. Namun begitu, apa yang akan dibincangkan disini ialah berkenaan dengan apakah manfaat di dunia dan akhirat semasa mengerjakan ibadah haji dan umrah ini, dimana supaya umat Islam pada hari ini dapat melakukan amalan-amalan tersebut dengan ikhlas dan mengikut sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Hal ini kerana ramai yang mengerjakan ibadah ini dengan melakukan amalan-amalan yang bertentangan dengan sunnah atas dasar taqlid semata-mata dan tidak mendapat apa-apa manfaat di dunia mahupun akhirat.

Apakah Manfaat?

Kewajiban ke atas umat Islam di muka bumi ini untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah berdasarkan firman Allah : “Mengerjakan haji dan umrah adalah kewajiban manusia terhadap Allah SWT iaitu bagi orang-orang yang sanggup melakukan perjalanan ke Baitullah. Barangsiapa mengingkari kewajiban haji atau umrah ini maka sesungguhnya Allah Maha Kaya dari alam semesta.” (Ali Imran 97) Allah menjanjikan bahawa orang yang melakukan ibadah haji atau umrah atau kedua-duanya sekali akan mendapat ganjaran dan manfaat iaitu himah-hikmah yang boleh diperolehi disebalik ibadah haji umrah itu. Di antara hikmah-hikmah haji dan umrah ialah:

  • Menjadi  tetamu Allah

Kaabah atau Masjid Al-Haram itu dikatakan sebagai ‘Rumah Allah’. Walau bagaimana pun kita mesti memahami bahawa bukan Allah itu bertempat atau tinggal disitu. Sesungguhnya Allah itu ada dimana mana. Ia dikatakan sebagai ‘Rumah Allah’ kerana apa yang diucapkan oleh Nabi Ibrahim a.s. oleh yang demikian orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah merupakan tetamu istimewa di mata Allah SWT. Dan sudah menjadi kebiasaan dan keutamaan setiap tetamu mendapat layanan yang istimewa dari tuan rumah. Rasulullah bersabda: “Orang yang mengerjakan haji dan orang yang mengerjakan umrah adalah tetamu Allah Azza wa jalla dan para pengunjung-Nya. Jika mereka meminta kepada-Nya nescaya diberi-Nya. Jika mereka meminta ampun dan taubat nescaya diterima-Nya doa mereka. Dan jika mereka meminta syafaat nescaya mereka akan diberi syafaat.” 

  • Mendapat tarbiah langsung daripada Allah SWT

Dalam kalangan mereka yang pernah melakukan ibadah haji ataupun umrah, mereka mengatakan bahawa Ibadah Haji adalah kemuncak ujian dan dugaan daripada Allah s.w.t. Ini disebabkan jumlah orang yang sama-sama melakukan ibadah tersebut adalah terlalu ramai hingga menjangkau angka jutaan umat Islam di muka bumi ini. Rasulullah bersabda: “Bahawa Allah Azza wa jalla telah menjanjikan akan ‘Rumah’ ini, akan berhaji kepadanya tiap-tiap tahun enam ratus ribu. Jika kurang nescaya dicukupkan mereka oleh Allah SWT dari para-para malaikat.” Sabda Rasulullah lagi, “Dari umrah yang pertama hingga umrah yang kedua menjadi penebus dosa yang terjadi diantara keduanya,sedangkan haji yang mabrur atau haji yang diterima itu tidak ada balasannya kecuali syurga Allah.” 

  • Membersihkan dosa-dosa

Melakukan Ibadah Haji dan umrah merupakan kesempatan yang sangat baik dan tepat untuk bertaubat dan meminta ampun kepada Allah SWT. Terdapat beberapa tempat dalam menunaikan ibadah haji itu merupakan tempat yang mustajab untuk berdoa, memohon keampunan Allah dan juga bertaubat. Malah ibadah haji itu sendiri jika dilakukan dengan sempurna tidak dicampuri dengan perbuatan-perbuatan keji. Maka Allah akan mengampunkan dosa-dosanya sehingga ia suci dan bersih seperti mereka yang baru sahaja lahir ke dunia ini. Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang melakukan Ibadah Haji ke Baitullah dengan tidak mengucapkan perkataan keji, tidak berbuat fasik, dia akan kembali ke negerinya dengan fitrah jiwanya yang suci ibarat bayi baru lahir daripada perut ibunya sendiri.” 

  • Memperkuatkan iman

Ibadah Haji dan umrah secara tidak langsung telah menghimpunkan seluruh umat Islam dari pelbagai pelusuk dunia. Mereka terdiri dari pelbagai bangsa, warna kulit dan bahasa pertuturan. Hal ini membuka pandangan dan fikiran yang luas tentang kebenaran Al-Quran yang diterangkan semua dengan jelas dan nyata. Firman -Nya: “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali antara satu sama lain.” “Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah menciptakan langit dan bumi dan berlainan bahasamu juga warna kulitmu.”

  • Merasa bayangan Padang Mahsyar

Bagi orang yang belum menunaikan ibadah haji tentunya belum pernah melihat dan mengikuti perhimpunan ratusan ribu umat islam yang berkeadaan sama tiada beza. Itu semua dapat dirasai ketika menunaikan ibadah haji. Perhimpunan di Padang Arafah menghilangkan status dan perbezaan hidup umat manusia sehingga tidak dapat kenal siapa kaya, hartawan, rakyat biasa, raja atau sebagainya. Mereka semua sama dengan memakai pakaian ihram putih tanpa jahit. Firman Allah s.w.t: “Sesungguhnya umat yang paling mulia di sisi Allah SWT adalah siapa yang paling taqwa.” 

  • Syiar perpaduan umat Islam 

Ibadah Haji dan umrah merupakan syiar perpaduan umat Islam. Ini kerana mereka yang menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah itu hanya mempunyai satu tujuan dan matlamat iaitu menunaikan perintah Allah SWT atau kewajiban Rukun Islam yang kelima. Dalam memenuhi matlamat tersebut mereka melakukan perbuatan yang sama,memakai pakaian yang sama, mengikut tertib yang sama malah boleh dikatakan semuanya hampir sama. Ini menggambarkan perpaduan dan satu hati umat Islam di seluruh dunia. Dan gambaran ini yang mesti diamalkan dalam kehidupan seharian umat Islam apabila mereka kembali ke negara asal mereka nanti.

  • Mendapat Keampunan Dosa-Dosa dan Jannah

Barangsiapa mendatangi Kaabah, kemudian menunaikan haji atau umrah dengan baik, tanpa rafats dan fusuq serta dengan ikhlas karena Allah SWT semata, nescaya Allah SWT akan  mengampuni dosa-dosanya dan menuliskan jannah untuknya. Hal inilah yang didambakan oleh setiap kaum mu’min dan mu’minah iaitu meraih keuntungan di dunia mahupun di akhirat kelak.

  • Menyaksikan Berbagai Manfaat Bagi Kaum Muslimin 

Allah SWT berfirman: “Agar supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka” Allah menyebutkan manfaat-manfaat dengan mutlak atau secara umum tanpa ikatan dan mubham (tanpa penjelasan) karena banyaknya dan besarnya menafaat-manfaat yang akan terjadi nanti di duniawi maupun ukhrawi. Dan di antara yang terbesar adalah menyaksikan tauhid-Nya, yakni mereka yang beribadah kepada Allah SWT semata-mata. Mereka datang dengan niat mencari wajah-Nya yang mulia bukan karena riak untuk dilihat orang lain dan juga bukan karena sum’ah (dibicarakan orang lain). Bahkan mereka mengerjakan dengan betauhid dan ikhlas kepada-Nya.

  • Berdoa Kepada Allah SWT

Di antara manfaat-manfaat menunaikan ibadah haji dan umrah, hendaklah bersungguh-sungguh merendahkan diri dan terus berdoa kepada Allah SWT, agar Dia menerima amal ibadah, membersihkan hati dan perbuatan agar Allah menolong untuk mengingati-Nya, bersyukur kepada-Nya dan memperluaskan ibadah kepada-Nya agar Dia menolong untuk menunaikan kewajiban dengan sifat yang diredhai serta Allah SWT akan menolong untuk berbuat baik kepada hamba-hamba-Nya. 

  • Menunaikan Manasik Dengan Baik

Di antara manfaat-manfaat menunaikan ibadah haji dan umrah, hendaklah melaksanakannya dengan sempurna yang mungkin, dengan sebaik-baiknya dan seikhlas yang mungkin. Baik sewaktu melakukan thawaf, sa’ie, wukuf di Arafah, berada di Muzdalifah, melempar jamrah, ataupun sewaktu solat, membaca Al-Qur’an, berdzikir, berdoa dan lain-lain. Juga hendaknya melakukan dengan fokus dan hati yang ikhlas. 

Kesimpulan

Semoga manfaat-manfaat di dunia dan akhirat ketika menunaikan ibadah haji dan umrah dapat memperbaiki diri kita sendiri di masa akan datang. Islam itu sungguh mudah, mengumpul dan melakukan amal ibadah yang baik juga akan mendapat ganjaran pahala yang tinggi. Mari kita sama-sama merebut peluang ini di dunia mahupun akhirat kelak. Insya-Allah.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *