Uncategorized

Bagaimana Umat Islam Di Malaysia Zaman Dahulu Menunaikan Ibadah Haji

Seperti yang semua tahu, rukun Islam yang ke-5 adalah menunaikan ibadah haji di Masjid Al-Haram. Ianya bermaksud menjadi tetamu istimewa Allah SWT di tanah suci untuk melaksanakan amal ibadah sesuai dengan rukun, syarat, dan waktu yang telah ditetapkan. Ibadah haji ditetapkan dan disyaratkan untuk seseorang umat Islam yang mampu. Maksud mampu iaitu mampu dari segi persediaan yang cukup untuk pergi dan persediaan bagi keluarga yang ditinggalkannya bagi tempoh menunaikan ibadah haji. Ibadah haji juga merupakan bekalan yang paling tepat dan penting untuk menuju akhirat setelah sekian lama kita sebagai umat Islam hidup di muka bumi ini. Sesungguhnya mereka yang menunaikan ibadah haji sanggup berbakti dengan harta benda, wang dan jiwa raga untuk memperhambakan diri mereka dengan sebenar-benarnya kepada Allah. Mereka dalam golongan yang telah mendapat hidayah dan petunjuk serta ketinggian martabat di sisi Allah SWT.

Bagaimana Umat Islam Zaman Dahulu Menunaikan Ibadah Haji?

Menurut sejarah zaman dahulu, ibadah haji di negara kita sudah pun berlaku daripada kurun ke 15 lagi. Menurut buku tulisan Mohd.Saleh bin Haji Awang, orang Melayu pertama yang menunaikan ibadah haji adalah Sultan Melaka, Sultan Alauddin Riayat Shah yang memerintah kesultanan Melaka dari tahun 1477 hingga tahun 1488. Di dalam buku ‘Hikayat Hang Tuah’ pula juga ada disebutkan Hang Tuah juga sempat menunaikan ibadah haji di Mekah semasa dalam perjalanan ke Rom. Bagaimanapun, sistem haji pada zaman moden di negara kita kisahnya bermula pada tahun 1923, selepas penjajah Inggeris yang memerintah Tanah Melayu melantik seorang individu yang bernama Haji Abdul Majid bin Zainuddin bagi menubuhkan badan dan persatuan yang akan mengendalikan urusan jemaah haji pada ketika itu.

Sistem Perjalanan Haji

Pada ketika itu statistik jumlah jemaah haji dari Tanah Melayu melonjak ekoran kekukuhan dan kenaikan ekonomi masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu, didorong oleh kekuatan harga getah yang naik mendadak. Hal ini membantu lebih ramai orang Melayu mampu memenuhi kuota ibadah haji namun pengalaman haji mereka sepertinya cukup berbeza dengan apa yang jemaah haji kita tempuhi sekarang. Sejak kurun ke 15 lagi para jemaah haji di Tanah Melayu menggunakan perkhidmatan pengangkutan kapal untuk ke Mekah. Yang membezakan perjalanan mereka adalah teknologi yang sedia ada mengikut peredaran zaman. Bagi jemaah haji pada kurun ke 15, mereka menempuhi dugaan dan perjalanan menggunakan kapal layar sementara berkat teknologi yang ada pada zaman itu. Manakala, jemaah pada zaman sebelum Tanah Melayu merdeka, mereka dapat merasai perjalanan menggunakan kapal stim.

Berkumpul Di Pelabuhan

Antara pelabuhan yang kerap digunapakai untuk dijadikan pusat berkumpulnya bakal jemaah haji pada ketika itu Temasik (Singapura) adalah Masjid Melayu dan Lebuh Acheh yang terletak di Pulau Pinang. Jemaah bagaimanapun terpaksa menunggu dengan waktu yang lama di pelabuhan dan masjid dijadikan rumah persinggahan sebelum kapal yang dinanti mereka tiba. Waktu yang ada diisi dengan sesi belajar oleh bakal jemaah haji tentang ibadah untuk menunaikan haji, kaedah memakai ihram dan perkara yang lain. 

Ketibaan kapal yang mampu menampung lebih 1000 penumpang akan mengambil masa perjalanan lebih kurang setahun untuk perjalanan pergi dan balik. Disebabkan kapal yang dinaiki mereka terlalu padat dan dikongsi bersama dengan jemaah-jemaah dari negara lain, ramai bakal jemaah yang jatuh sakit akibat keadaan yang tidak selesa, padat dan sehingga tidak boleh bernafas. Perjalanan haji pada tahun 1947 misalnya, 31 orang jemaah meninggal dunia dalam perjalanan sebelum sempat mereka menunaikan ibadah haji.

Pada tahun 1936, Pejabat Hal Ehwal Ibadah Haji melantik syarikat Blue Funnel Line yang mempunyai armada sebanyak 21 buah kapal sebagai kapal rasmi bakal jemaah haji Tanah Melayu pada ketika itu. Pada zaman sebelum merdeka pula, syarikat yang dilantik adalah China Navigation Line.

Demi menunaikan Ibadah Haji

Jemaah pada ketika itu memang sanggup menggadaikan harta, haiwan ternakan dan tanah yang besar untuk melunaskan hasrat menjadi tetamu Allah di Mekah pada zaman itu. Sehingga tahun 1970, kos untuk menunaikan haji ke Mekah agak besar bagi masyarakat Tanah Melayu pada ketika itu. Dengan kos yang dijangka RM1,150 bagi kelas 1, RM1,063 bagi kelas 2 dan RM941 bagi kelas 3. Jika kita melihat angka ini pada ketika itu, tidak hairanlah masyarakat Tanah Melayu sanggup bergadai segalanya bagi memastikan salah satu rukun Islam ini wajib dipenuhi sebelum mereka tiada.  Selepas selesai menunaikan ibadah haji, tidak semua jemaah yang mahu pulang ke negara asal masing-masing. Ada yang lebih memilih untuk terus menetap di sana dan yang paling menyayat hati semestinya menyedihkan, ada juga yang meninggal dunia dalam perjalanan pulang, sehingga memerlukan mereka untuk pengebumian di laut kerana masa yang diambil untuk pergi dan pulang dianggarkan setahun, jadi tidak mustahil laut adalah tempat pengebumian mereka. Masya Allah.

Zaman Moden Berubah: Kapal Terbang Pemudah Cara

Kapal yang lebih pantas dan menjimatkan masa mula digunakan pada tahun 1950. Ia mampu menghantar bakal jemaah haji pada zaman itu dalam tempoh 2 minggu berbanding berbulan lamanya. Bermula pada tahun 1977, jemaah haji di Malaysia tidak lagi menggunakan kapal atau kapal layar untuk pergi menunaikan ibadah haji di Mekah. Dengan penggunaan kapal terbang yang membuatkan perjalanan menjadi lebih pantas, selain itu dapat menjimatkan masa semua orang. Tempoh 2 minggu yang perlu diharungi pula dipendekkan menjadi belasan jam sahaja. Dengan penubuhan Lembaga Tabung Haji pada tahun 1969, urusan jemaah haji menjadi lebih lancar dan berjalan dengan seiring peredaran zaman pada ketika itu. Ekonomi orang Melayu juga menjadi semakin baik dan melonjak naik, lantaran kempen menabung bersama Tabung Haji semakin mendapat sambutan yang hangat. Ia membuatkan keperluan dan kemampuan harta benda yang digadaikan untuk menunaikan ibadah haji bukan lagi satu kisah yang selalu didengari. 

Beberapa puluh tahun yang dulu, apabila bakal jemaah berlepas, peluang untuk anak dan keluarga mendengarkan khabar berita dari mereka amatlah sukar. Oleh kerana itu, pemberita Malaysia yang bertugas di Mekah akan menyediakan slot khas ucapan dari jemaah haji Malaysia bagi menghilangkan rasa rindu pada keluarga yang berada di tanah air. Kini, walaupun kita sudah ada kemudahan dan sistem perhubungan yang kuat untuk berhubung setiap masa, tradisi dan ucapan selamat dalam siaran kaca televisyen tetap diteruskan bagi mengingatkan kita semua segala susah payah, pahit getir yang mungkin kita generasi yang moden dan tidak akan merasainya. Andai kita semua berkelapangan, berkunjunglah ke Galeri Haji Pulau Pinang bagi menyaksikan sendiri sejarah ibadah haji di Malaysia pada ketika itu. Pulau Pinang satu masa dahulu pernah digelar ‘Jeddah Kedua’ kerana menjadi tempat berkumpulnya ribuan para jemaah-jemaah haji sebelum mereka menaiki kapal dan berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadah haji.

Kesimpulan

Kepayahan itu diharungi oleh jemaah haji pada zaman dahulu demi melaksanakan kemuncak Rukun Islam yang ke-5 sehingga sanggup meninggalkan ahli keluarga yang berbulan-bulan lamanya, bergolok-gadai dan menghadapi risiko sekiranya kapal dinaiki dilanda ribut atau karam di lautan yang dalam. Berpeluang ke tanah suci Mekah dengan penerbangan yang efisien pada zaman yang pascamoden sememangnya selesa dan banyak mengingatkan kepada kesukaran nenek moyang kita dulu menaiki kapal laut. Syukur kerana sekarang jika ke Makkah, masa diperlukan untuk menyempurnakan ibadah haji tidak sampai 40 hari. Berbanding dengan orang pada zaman dahulu yang perlu berjimat-cermat mengumpul duit dan kebanyakan mereka hanya berpeluang menunaikan ibadah haji ketika sudah tua dan berada pada penghujung usia. Tunaikanlah ibadah haji, tidak kira tua atau muda. Selagi kita semua diberikan kesihatan yang baik dan mempunya kemampuan yang cukup. Berebutlah untuk menjadi tetamu Allah, kerana pahala orang yang menunaikan ibadah haji atau umrah berlipat kali ganda banyaknya. Semoga kita semua dapat menunaikannya suatu hari nanti.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *