Uncategorized

Haji Dulu Atau Umrah Dulu?

Umrah dari segi bahasa ialah ziarah. Dari segi syara’ pula bermaksud menziarahi Masjid Al-Haram pada bila-bila masa untuk melaksanakan ibadat tertentu dengan syarat-syarat yang tertentu. Umrah juga dikenali sebagai ‘Haji Kecil’. Umrah boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja yang diingini oleh seseorang individu. Namun begitu, ada masanya kita tidak boleh menunaikan umrah iaitu masa menunaikan haji. Menunaikan umrah adalah ibadat seumpama seseorang itu mempersembahkan dirinya kepada Allah SWT. Sudah semestinya setiap masa ketika berada di sana akan digunakan sebaiknya untuk beribadat.

Haji dari segi bahasa ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Manakala dari segi istilah bermaksud mengunjungi Masjid Al- Haram (Kaabah) pada masa-masa tertentu pada bulan haji, iaitu Zulhijah serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi ibadah haji. Haji merupakan salah satu dari rukun Islam dan menjadi kewajiban kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya dan melaksanakannya dikira wajib hanya sekali seumur hidup jika dilakukan lebih dari itu maka ia dikira sunat. Haji terdiri dari 3 jenis antaranya ialah Haji Ifrad, Haji Tamattu’ dan Haji Qiran. 

Haji Ifrad ialah mengerjakan ibadah haji dahulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan Umrah. Haji Tamattu’ adalah mengerjakan umrah dahulu dalam bulan-bulan haji kemudian mengerjakan ibadah haji di tahun yang sama. Dan Haji Qiran ialah berniat ihram haji dan umrah serentak pada bulan haji, kemudian melaksanakan semua rukun dan wajib haji. Umrah pula dikira selesai sebaik selesai menunaikan Haji. Dalam mengerjakan ibadah haji, ia memerlukan tenaga yang lebih banyak berbanding dengan mengerjakan ibadah umrah. Hal ini kerana ibadah haji memakan masa yang lebih lama berbanding mengerjakan ibadah umrah. Seseorang haruslah meningkatkan tahap ketahanan fizikal sekiranya ingin mengerjakan ibadah haji kerana ia terbukti kegiatan atau aktiviti yang dilakukan semasa mengerjakan ibadah haji lebih banyak berbanding dengan mengerjakan umrah.

Haji Atau Umrah Dulu?

Setiap orang mempunyai prinsip dalam menentukan manakah yang patut didahulukan sama ada menunaikan haji atau  umrah. Fenomena dalam masyarakat Islam masa kini terutama di Malaysia adalah mereka memilih untuk menunaikan umrah dahulu daripada pergi haji atas pendapat masing-masing. Malah ada yang sudah berkali-kali menunaikan ibadah umrah dan belum mempunyai kesempatan untuk menunaikan haji kerana sistem giliran menunggu yang sangat panjang di antara 5 hingga 20 tahun disebabkan terlalu ramai yang sudah mendaftar haji.

Selain itu, antara pendapat yang sering kita dengar adalah mereka tidak mempunyai wang yang cukup untuk menunaikan haji, sekadar untuk ziarah Baitullah dan melancong ke tempat yang sama dengan pakej ziarah, semata-mata untuk berdoa, berubat atau bertaubat disebabkan masalah dan penyakit yang dialami, belum bersedia untuk digelar haji atau hajjah kerana bila dah pegang nama tersebut banyak amalan lama dalam hidup tidak dapat dilakukan, risau dan bimbang jika menunaikan ibadah haji akan menerima “balasan” dari Allah dan macam-macam  lagi. Mudah-mudahan niat yang baik akan menghasilkan kebaikan kepada kita kerana melalui niat kita mendapat apa yang diniatkan. 

Bahkan, sekiranya mereka mampu dari segi kewangan untuk menunaikan ibadah haji dan umrah juga tidak menjadi masalah. Bagi sesetengah orang, mereka sering menunaikan ibadah umrah terlebih dahulu kerana kos yang tidak terlalu mahal seperti ibadah haji. Ibadah umrah juga boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja. Jadi, ia tidak menjadi masalah untuk menunaikan ibadah umrah pada bulan apapun kecuali bulan musim haji. Tempoh masa juga adalah salah satu faktor kenapa mereka atau bakal jemaah di Malaysia ini lebih memilih untuk menunaikan ibadah umrah terlebih dahulu berbanding Haji. Hal ini kerana, masa untuk menunaikan ibadah umrah tidak terlalu lama berbanding haji, maka sekiranya ia tidak lama persiapan fizikal dan mental juga tidak terlalu banyak. Berbanding Haji, persiapan mental dan fizikal memerlukan tenaga yang banyak kerana tempoh menunaikan ibadah itu lama.

Hukum Menunaikan Umrah

Merujuk kepada persoalan di atas,  Hukum mengerjakan umrah adalah wajib sekali seumur hidup apabila telah memenuhi syarat-syaratnya. Namun, ibadah umrah ini dikira sunat untuk dikerjakan secara berulang-ulang kali. Sebahagian ulama berpendapat bahawa hukum melaksanakan umrah adalah wajib atau fardu bagi orang yang belum melaksanakan sementara dia mampu untuk melaksanakannya. Ini kerana terdapat banyak kelebihan yang telah dijanjikan kepada sesiapa yang melaksanakan ibadah umrah dengan penuh keikhlasan dan ketakwaan. 

Hukum Menunaikan Haji

Ibadah haji merupakan salah satu rukun Islam yang kelima, yang wajib dilaksanakan oleh setiap muslim yang cukup syarat.. Justeru, setiap muslim mestilah menanam di dalam hati serta berazam untuk menunaikan ibadah haji dan sentiasa berusaha sedaya mungkin dalam melaksanakan perintah Allah SWT tersebut.

Merujuk kepada persoalan di atas, hukum mengerjakan ibadah haji dan umrah adalah wajib dikerjakan sekali seumur hidup bagi mereka yang berkemampuan. Namun, ibadah haji dan umrah ini dikira sunat untuk dikerjakan secara berulang-ulang kali.

Kesimpulan 

Melakukan ibadah haji atau umrah adalah perkara yang paling disukai dan menjadi harapan para bakal jemaah dari seluruh dunia. Ada yang mampu, ada juga yang tidak mampu dari segi kewangan, fizikal dan juga mental. Bagi mereka yang kurang berkemampuan serta bercita-cita dan menyimpan hasrat untuk menunaikan ibadah haji dan umrah ini sering bertungkus-lumus untuk mengumpul duit dan sentiasa berharap sekiranya mereka boleh sampai dan menjejakkan kaki di Tanah Suci itu. Bagi mereka yang berkemampuan dari semua segi, sekiranya sihat dari segi tubuh badan, fizikal dan mental, pergilah menunaikan umrah atau haji. Tidak rugi dan tidak luak wang anda sekiranya mengerjakan banyak kali. Itu dinamakan rezeki dan peluang yang anda perlu rebut untuk sampai ke sana. Berharap artikel ini dapat memberi kesedaran dan pengetahuan tentang ibadah umrah dan haji bagi umat Islam di muka bumi ini.

Similar Posts

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *