Ibadah Haji Dan Korban
Untuk umat Islam khususnya, menjejak kaki ke tanah suci Makkah untuk menunaikan ibadah haji merupakan perkara paling disukai sebagai seorang yang beragama Islam. Perkataan haji berasal daripada bahasa Arab iaitu haji yang bermaksud dari istilah syarak menziarahi tempat tertentu pada masa tertentu dengan melakukan pekerjaan yang tertentu bagi menunaikan kewajipan ibadah dalam agama. Ibadah haji merupakan rukun ke-5 dan wajib dilaksanakan seperti disebutkan dalam Rukun Islam. Indahnya tentang amalan ibadah haji, seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang menunaikan ibadah haji dan dia tidak mencampuri istrinya serta tidak melakukan maksiat atau bersetubuhan, dia akan kembali sebagaimana waktu dan hari dia dilahirkan ke dunia oleh ibunya”. Namun, terdapat beberapa syarat wajib sebelum seseorang itu pergi menunaikan haji iaitu Islam, berakal, berkemampuan, merdeka dan baligh. Berkemampuan disini bermaksud individu tersebut sihat tubuh badan, aman perjalanan, tidak ditahan, terdapat mahram atau suami bagi perempuan dan tidak berada dalam iddah bagi perempuan yang sudah bercerai atau kematian suaminya.
Keistimewaan dan Kelebihan Menunaikan Ibadah Haji?
Kelebihan dan keistimewaan orang yang menunaikan ibadah haji, mereka memperoleh pelbagai ganjaran pahala daripada Allah SWT. Antara ganjaran dalam menunaikan ibadah haji ialah mendapat haji yang mabrur. Para jemaah yang menunaikan ibadah haji dengan sempurna dan tertib, mereka memperoleh pengampunan dosa dari Allah dan haji yang mabrur tiada lain ganjarannya kecuali syurga tempatnya. Selain itu, menunaikan ibadah haji merupakan satu bentuk jihad bagi seluruh umat Islam tanpa mengira usia, jantina atau fizikal seseorang itu.
Terhapus Dosa
Setiap umat manusia tidak lari daripada membuat kesalahan walaupun sekecil kuman, namun beruntungnya mereka yang menunaikan ibadah haji kerana segala dosa silam mereka akan terhapus sekiranya mereka menunaikan ibadah tersebut tanpa cacat cela serta mengikut segala syarat, rukun, wajib dan adab haji dengan tertib. Malah, mereka juga telah diberi peluang untuk menunaikan ibadah haji di tanah suci Makkah, itu adalah tetamu agung Allah SWT yang diidamkan oleh semua umat Islam serta mendapat kemuliaan daripada-Nya. Di samping menunaikan ibadah haji, umat Islam turut meraikan Hari Raya Aidiladha atau dikenali sebagai Hari Raya Korban. Perayaan Hari Raya Korban merupakan penanda atau meraikan berakhirnya musim haji di Makkah.
Sejarah Ibadah Korban
Perayaan Hari Raya Korban, Hari Raya Haji atau Hari Raya AidilAdha berkaitan dengan ibadah korban dan Haji yang dilakukan dan dilaksanakan oleh umat Islam seluruh dunia. Jika dibandingkan dengan Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Korban sedikit berbeza dengan sunnah Nabi yang dilakukan pada hari perayaan. Mari kita lihat sejarah kisah Nabi Ibrahim dan anak sulungnya Nabi Ismail.
Kisah Pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail
Allah telah memerintahkan Nabi Ibrahim melalui mimpinya untuk menyembelih anaknya sendiri Nabi Ismail. Perintah Allah ini telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak iaitu Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Pengorbanan yang besar dibuat Nabi Ibrahim ini merupakan satu pengorbanan yang amat berat kerana Nabi Ibrahim menunggu dalam masa yang lama untuk mempunyai seorang zuriat.
Tidak Mempunyai Anak Sehingga Berusia 86 Tahun.
Selain daripada menghadapi ujian dan dugaan semasa dia berdakwah, Nabi Ibrahim juga menghadapi dan menerima ujian yang lain daripada Allah. Seperti yang telah diceritakan tadi, sehingga umur Nabi Ibrahim mencecah 86 tahun, tiada cahaya mata atau zuriat yang dikurniakan kepadanya.
Doa Nabi Ibrahim
Namun Nabi Ibrahim masih terus berusaha, tidak putus asa dan tidak putus-putus berdoa kepada Allah. “Ya Tuhanku, Engkau anugerahkanlah kepada aku (seorang zuriat) yang tergolong daripada orang-orang yang soleh,”. Doa Nabi Ibrahim telah didengar dan dimakbulkan oleh Allah SWT. Allah memberi ganjaran seorang anak yang sangat penyabar dan baik kepadanya.
Nabi Ibrahim Mengahwini Siti Hajar
Sarah, isteri kepada Nabi Ibrahim sebelum Hajar, tidak dikurniakan seorang zuriat sebelum kelahiran Nabi Ismail. Sarah telah meminta Nabi Ibrahim untuk berkahwin lagi dengan Siti Hajar iaitu seorang puteri Raja Mesir.
Putera Pertama Nabi Ibrahim
Nabi Ibrahim mendapat berita gembira yang selama ini ditunggu-tunggu, diturunkan dari langit bahawa Hajar telah mengandungkan seorang putera. Ismail merupakan nama yang telah dipilih untuk putera pertama kesayangan Nabi Ibrahim. Nabi Ibrahim berusia 86 tahun semasa Nabi Ismail dilahirkan mengikut kenyataan ahli-ahli sejarah dan para ulama. Pengorbanan Sarah sebagai seorang isteri yang solehah juga telah mendapat kurniaan seorang anak daripada Allah SWT. Nabi Ishak dilahirkan ketika Nabi Ibrahim berusia 100 tahun.
Sejarah Ibadah Korban Pada AidilAdha
Nabi Ibrahim suka melakukan ibadah korban haiwan ternakan dengan banyak iaitu 1000 ekor kambing, 300 ekor lembu dan 100 ekor unta. Perbuatan dan kelakuannya ini dikagumi oleh para-para malaikat.
Nabi Ibrahim pernah berkata sebelum kelahiran Nabi Ismail:
“Semua yang menjadi qurbanku itu belum menjadi apa-apa bagiku. Demi Allah, kalau aku mempunyai anak lelaki, tentu aku akan persembahkan di jalan Allah dan aku akan korbankan dia untuk Allah SWT” Namun, setelah Nabi Ismail dilahirkan, Nabi Ibrahim terlupa akan nazar yang dijanjikannya itu.
Nabi Ibrahim Bermimpi Penyembelihan Nabi Ismail
Pada 8 Zulhijjah iaitu malam tarwiyah, satu perintah di dalam mimpi Nabi Ibrahim berkata “Wahai Ibrahim tunaikanlah nazarmu”. Nabi Ibrahim tidak pasti sama ada ini adalah perintah Allah atau mimpi yang dibuat-buat oleh syaitan. Disebabkan ini, ia dinamakan malam ‘tarwiyah’ yang bermaksud ‘fikir’ dalam bahasa Arab. Pada hari keesokannya iaitu 9 Zulhijjah dan juga hari ketiga pada 10 Zulhijjah, Nabi Ibrahim mempunyai mimpi yang masih sama iaitu untuk menunaikan nazarnya. Pada 9 Zulhijjah digelar ‘Arafah’ yang bermaksud ‘pasti’ kerana Nabi Ibrahim yakin bahawa mimpi tersebut datang daripada Allah. Pada 10 Zulhijjah yang digelar ‘Nahrun’ bererti ‘sembelih’ kerana Nabi Ibrahim yakin dan pastu bahawa Allah memerintahkan baginda untuk melakukan penyembelihan.
Nabi Ibrahim Akur
Kemudian, Nabi Ibrahim memberitahu dan menceritakan perintah Allah kepada Nabi Ismail. Nabi Ismail yang berusia 7 tahun ataupun ada ulama yang mengatakan 13 tahun. Dia pun bersetuju.
Hasutan Iblis
Nabi Ibrahim dihasut oleh Iblis atau Syaitan untuk tidak melakukan penyembelihan namun tidak dipedulikan oleh Nabi Ibrahim. Iblis cuba sekali lagi untuk menghasut Siti Hajar pula namun gagal kerana dia mendapat tahu bahawa itu adalah perintah dari Allah SWT. Selepas itu, Nabi Ismail pula cuba dihasut oleh Iblis sekali lagi.
Pada ketika itu, Nabi Ibrahim, Ismail dan Siti Hajar melontarkan batu dan mencederakan mata iblis yang kemudiannya Iblis berlalu pergi. Selepas itu, Nabi Ibrahim cuba untuk melakukan penyembelihan terhadap anaknya sendiri iaitu Nabi Ismail namun gagal setelah beberapa percubaan. Leher Nabi Ismail tidak sedikit pun terluka dan berdarah dengan izin Allah.
Allah SWT kemudian berfirman:
“Dan Kami (Allah) menyeru: Hai Ibrahim, sesungguhnya engkau membenarkan mimpi itu, sesungguhnya Kami akan membalas orang yang berbuat baik” Kemudian Malaikat Jibril tiba bersama seekor kibas sebagai pengganti.
Firman Allah:
“Dan Kami tebus anaknya Nabi Ismail dengan seekor binatang sembelihan yang besar”. Begitulah tentang sejarah ibadah korban yang kita perlu ingati dan fahami.
Kesimpulan
Sabar itu terbahagi kepada tiga bahagian. Yang pertama sabar berbuat taat, yang kedua sabar meninggalkan maksiat dan yang ketiga ialah sabar dalam musibah. Ini suatu dugaan dan ujian yang sangat berat, yang besar dihadapi oleh Nabi Ibrahim, Nabi Ismail dan juga Siti Hajar yang juga redha dan ikhlas melaksanakan serta menunaikan perintah Allah SWT. Oleh yang demikian, ibadah korban mengajar kita erti redha dan sentiasa taat melaksanakn perintah Allah SWT. Kita juga hedaklah ikhlas dalam beribadah kerana ia akan menjadikan kita sebagai mukmin yang sejati. Dengan itu disyariatkan ibadah korban pada setiap Hari Raya AidilAdha atau Hari Raya Haji bagi mengingati nilai pengorbanan besar Nabi Ibrahim a.s serta keluarganya.