Jenis-Jenis Haji dan Cara-Cara Mengerjakan Haji
Apabila terdengar ibu bapa, orang kampung atau jiran tetangga kita menyatakan hasrat mereka akan berangkat menunaikan ibadah haji, kita selalu tertanya-tanya apakah pengertian atau maksud haji yang sebenar-benarnya dan apakah pula jenis-jenis haji.Kerana kita selalu dengar bahawa ibadah haji ada banyak perbezaan dari ibadah umrah. Pada kebiasaannya, ibadah Haji di kenali sebagai ‘haji besar’. Oleh yang sebegitu, ramai di antara kita semua yang masih kurang faham dan kurang jelas tentang jenis-jenis dan cara-cara untuk menunaikan ibadah haji. Haji merupakan salah satu ibadah yang wajib dilakukan sebagaimana dituntut dan diberitahu di dalam rukun Islam bagi umat Islam yang berkemampuan.
Maksud Haji
Haji ialah menuju atau mengunjungi ke sesuatu tempat. Manakala dari segi istilah arab bermaksud mengunjungi Masjid Al- Haram pada masa-masa tertentu pada bulan haji, iaitu Zulhijah serta melaksanakan perkara-perkara yang wajib bagi menunaikan ibadah haji. Haji merupakan salah satu dari rukun Islam dan menjadi kewajiban kepada seluruh umat Islam lelaki mahupun wanita bagi yang berkemampuan untuk melaksanakannya dan melakukannya dikira wajib hanya sekali seumur hidup mereka, jika dilakukan lebih dari itu maka ia dikira sunat.
Jenis-Jenis Haji
Haji terdiri dari 3 jenis antaranya ialah Haji Ifrad, Haji Tamattu’ dan Haji Qiran.
Haji Ifrad ialah mengerjakan ibadah haji dahulu dalam bulan haji kemudian mengerjakan Umrah. Haji Tamattu’ adalah mengerjakan umrah dahulu dalam bulan-bulan haji kemudian mengerjakan ibadah haji di tahun yang sama. Dan Haji Qiran ialah berniat ihram haji dan umrah serentak pada bulan haji, kemudian melaksanakan semua rukun dan wajib haji. Dalam mengerjakan ibadah haji, ia memerlukan tenaga yang lebih banyak berbanding dengan mengerjakan ibadah umrah. Hal ini kerana ibadah haji memakan masa yang lebih lama berbanding mengerjakan ibadah umrah. Seorang jemaah haruslah meningkatkan tahap ketahanan fizikal mereka sekiranya ingin mengerjakan ibadah haji kerana ia terbukti kegiatan atau aktiviti yang dilakukan semasa mengerjakan ibadah haji lebih banyak dan memerlukan kekuatan berbanding dengan mengerjakan umrah.
Rukun-Rukun Haji
Dalam melakukan pelaksanaan ibadah haji, jemaah haji harus memenuhi dan memathui enam rukun haji agar ibadah mereka sah. Rukun haji wajib dipenuhi dan tidak boleh diganti dengan rukun dan amalan lain ataupun dengan membayar denda atau dam. Jika salah satu dari enam rukun haji dibawah tidak dilaksanakan, maka ibadah haji dianggap tidak sah.
Enam rukun haji ialah:
- Ihram
- Wukuf di Arafah
- Tawaf Ifadah
- Sa’ie
- Bercukur
- Tertib, mengikut urutan.
Wajib Haji
Wajib haji merupakan perkara-perkara yang harus dilakukan dalam melaksanakan ibadah haji. Jika salah satu perkara dibawah tidak dilakukan, ibadah haji seseorang itu tetap sah, tetapi ia harus mengganti dan membayar dam. Ini adalah lima perkara wajib haji yang harus dilakukan oleh jemaah haji:
- Ihram, yakni niat untuk menunaikan haji dari miqat
- Bermalam di Muzdalifah
- Bermalam di Mina
- Melontar jamrah ula, wustha, dan aqabah
- Tawaf wada’ (bagi jemaah yang akan meninggalkan Kota Makkah)
Cara-cara Menunaikan Ibadah Haji
Waktu ibadah haji dimulakan dengan wukuf di Arafah pada tanggal 9 Dzulhijjah atau sering disebut sebagai hari Arafah. Kerana termasuk dalam rukun haji, jemaah yang tidak melakukan wukuf di Arafah bererti dianggap tidak mengerjakan haji. Perkara ini disebut dalam hadis Nabi:
“Haji itu datang di bumi Arafah. Barangsiapa yang datang pada malam hari 10 Dzulhijjah sebelum terbit fajar maka sesungguhnya ia masih boleh mendapatkan haji.” (HR. At-Tirmizi dari Abdul rahman bin Ya’mar RA).
Menunaikan ibadah sebelum wukuf, pada waktu wukuf, hingga habis wukuf disebut dengan cara haji dan dimulai pada tanggal 8 Dzulhijjah. Para jemaah berangkat menuju ke Arafah pada pukul 07.00 waktu Arab Saudi pada tanggal 8 Dzulhijjah, atau disebut sebagai hari tarwiyah, dengan menaiki bus yang disediakan. Dalam perjalanan dari Makkah menuju ke Arafah, jemaah diharuskan atau disunatkan untuk sentiasa berzikir, membaca talbiyah, selawat ke atas nabi muhammad SAW, ataupun berdoa.
-
Wukuf di Arafah
Wukuf di Arafah dilakukan pada tanggal 9 Dzulhijjah setelah matahari terbenam dan berakhir saat terbit fajar pada tanggal 10 Dzulhijjah. Wukuf bermaksud berhenti, diam tanpa melakukan pergerakan, dan dilakukan dalam suasana tenang. Pada waktu wukuf, seluruh jemaah haji berkumpul di padang Arafah. Selama wukuf, kegiatan yang dilakukan jemaah di antaranya mendengarkan khutbah wukuf, memperbanyak dzikir, membaca Al Quran, dan memanjatkan doa kepada Allah SWT. Wukuf boleh dilakukan secara berjamaah atau sendiri, setelah khutbah wukuf , jemaah boleh menunaikan ibadah solat jamak qasar taqdim Zohor dan Asar.
-
Bermalam di Muzdalifah
Bermalam di Muzdalifah dilakukan oleh jemaah haji pada tanggal 10 Dzulhijjah. Muzdalifah merupakan daerah yang terletak di antara Mina dan Arafah. Jemaah haji mengumpulkan batu kerikil di tempat ini dan menyimpannya untuk digunakan melempar jamrah nanti.
-
Bermalam di Mina
Bermalam di Mina juga wajib dilakukan jemaah haji. Salah satu yang dilakukan di Mina ialah melontar jamrah. Bermalam di Mina dilaksanakan pada tanggal 11 hingga 12 Dzulhijjah atau dua malam sehingga 13 Dzulhijjah.
-
Melontar jamrah
Melontar jamrah hukumnya wajib. Ibadah ini dilakukan pada tanggal 10 Dzulhijjah dan jatuh pada hari tasyrik, iaitu pada 11, 12, dan 13 Dzulhijjah. Melontar jamrah dilakukan dengan melontar batu ke arah jamrah Sughra, Wusta, dan Aqabah dengan niat terkena jamrah dan batu masuk ke dalam lubang marmar. Bagi yang tidak melaksanakan rukun ini, mereka harus membayar fidyah atau dam (denda).
-
Tawaf Ifadhah
Tawaf Ifadhah dilaksanakan oleh jemaah haji setelah pulang dari Mina pada tanggal 12 atau 13 Dzulhijjah atau setelah selesai Wukuf di Arafah. Tawaf Ifadhah dilakukan dengan mengelilingi Kabah sebanyak tujuh kali dan tidak ada mempunyai waktu yang tertentu.
-
Sa’ie
Sa’ie merupakan perkara yang wajib dilakukan oleh jemaah haji. Sa’ie dilakukan dengan memulakan perjalanan dari Safa ke Marwah dan kembali lagi sebanyak tujuh kali. Perjalanan dimulai dari Safa dan berakhir di Marwah, dengan syarat-syarat dan cara-cara yang tertentu. Saat jemaah haji berjalan kaki menuju Safa, ia akan menghadap Ka’bah dan membaca takbir dan tahlil. Setelah itu jemaah haji boleh terus berjalan menuju ke Marwah sambil berzikir dan berdoa.
-
Tawaf Wada’
Tawaf Wada’ dikenali sebagai tawaf perpisahan. Tawaf ini dilakukan sekiranya jemaah haji akan meninggalkan Kota Makkah untuk kembali ke negara mereka sendiri. Perkara ini dilakukan selepas selesai semua rukun-rukun haji yang telah dinyatakan.
Kesimpulan
Sesiapa yang akan melakukan atau sudah mengerjakan ibadah haji. Berharap akan mendapat haji yang mabrur. Apabila selesai mengerjakannya dan pulang ke tanah air ia diibaratkan seperti seorang bayi yang baru lahir. Betapa besarnya ganjaran yang diberikan oleh Allah SWT untuk kita sebagai umat Islam di muka bumi ini. Beribadahlah dengan seikhlas-ikhlasnya dan jangan pula mengharapkan ganjaran lain daripada Allah SWT semata-mata. Semoga semua umat Islam di dunia dapat bersama-sama mengerjakan ibadah haji ataupun umrah sekali seumur hidup. Bak kata orang ‘Rasa sekali pun jadilah’. Betapa seronoknya melakukan ibadah itu lagi-lagi di rumah Allah. Sama-sama kita berdoa agar dipermudahkan, InsyaAllah.