Persiapan Asas Sebelum Berangkat Mengerjakan Haji Atau Umrah
Setiap tahun berjuta-juta umat Islam dari serata dunia dan juga dari Malaysia akan berkumpul di Tanah Suci Mekah untuk menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan haji dan umrah bagi yang berkemampuan. Ibadah haji ini adalah wajib dilaksanakan bagi setiap umat Islam yang mampu dari segi kesihatan dan kewangan dalam hidup.
Ibadah umrah pula wajib dilakukan hanya sekali seumur hidup bagi umat Islam yang mukallaf yang bermaksud dapat memenuhi lima syarat iaitu:
- Islam
- Baligh
- Berakal
- Merdeka
- Mampu – mempunyai kenderaan pergi balik dan bekalan makanan minuman yang mencukupi sewaktu melaksanakan ibadah umrah
Sekiranya anda terpilih untuk menunaikan haji dan umrah, anda haruslah memanfaatkan peluang ini dengan sebaik-baiknya. Anda juga haruslah membuat persediaan awal sewaktu berada di Malaysia untuk menjadi seorang hamba Allah SWT yang benar-benar ingin berkunjung ke Mekah sebagai tetamu-Nya. Oleh yang demikian, anda perlu menyiapkan diri dengan membuat kelengkapan dan peralatan yang secukupnya untuk dibawa ketika menjejakkan kaki di Tanah Suci.
Artikel pada kali ini saya akan menyentuh tentang perkara dalam membuat persiapan asas yang perlu anda lakukan sebelum berangkat pergi mengerjakan ibadah haji atau umrah.
Niat
Hadis 40 karangan Imam Nawawi pernah mengatakan bahawa setiap amalan itu akan dinilai oleh Allah SWT berdasarkan niat kita sendiri. Oleh itu, sebagai umat Islam, anda perlu sentiasa memperbaharui niat asal anda iaitu melaksanakan ibadah haji atau umrah hanya kerana Allah SWT dan ia bukannya disebabkan oleh tujuan lain seperti mengikuti orang lain atau tujuan hanya untuk melancong.
Umat Islam juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga hati agar dijauhkan dari sifat riak atau menunjuk serta merasakan diri sendiri itu adalah lebih baik daripada orang lain dan mempunyai kewangan yang lebih. Segeralah beristighfar kepada Allah SWT sekiranya anda terlintas atau terdetik perasaan riak dan sombong itu di dalam hati. Sesungguhnya, kita hanyalah manusia biasa yang tidak akan pernah lari daripada bisikan syaitan.
Sewaktu berada di Tanah Suci Mekah, sebaik-baiknya kita sebagai umat Islam perlu fokus dengan melakukan ibadah sahaja dan lupakan hal-hal dunia buat sementara waktu. Kurangkan aktiviti yang lagha dan tidak penting seperti mengambil gambar selfie dengan banyak lalu memuat naik ke dalam media sosial. Sifat ini perlu dikurangkan agar kita dapat mengelakkan diri daripada terus disangka buruk atau orang lain mempunyai rasa buruk sangka terhadap diri kita sendiri. Anda haruslah membetulkan niat asal anda supaya tidak menyimpang ke arah perkara yang tidak benar di jalan Allah SWT.
Ilmu Pengetahuan
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud;
“Dari Anas RA, ia berkata: Rasulullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang keluar untuk mencari atau menuntut ilmu, maka dia adalah orang yang berjihad fi sabilillah sehingga ia kembali”. (Riwayat oleh Tarmidzi)
Agama Islam telah menekankan ilmu yang benar dan sahih untuk setiap amal ibadah yang kita ingin laksanakan seperti ibadah solat dan puasa yang berpandukan hadis sahih Rasulullah SAW. Ibadah Haji dan Umrah juga begitu kerana setiap Jemaah perlu hadir ke kelas bimbingan untuk melaksanakan haji atau umrah yang disediakan oleh pihak Tabung Haji atau agensi yang menjalankan khursus haji umrah sebagai salah satu persiapan diri sebelum berangkat ke Mekah.
Persiapan ilmu ini sangat penting untuk para Jemaah kerana anda akan dibekalkan dengan banyak ilmu dan pengetahuan yang asas dan terperinci supaya anda akan lebih yakin dan faham dengan setiap rukun ketika melaksanakan haji dan umrah. Ia juga bertujuan supaya anda tidak mengikuti gerak geri dan mengikut orang lain agar anda akan terasa mudah dalam melaksanakannya. Oleh yang demikian, anda perlu korbankan sedikit masa lapang yang anda untuk mengisi kefahaman tentang pelaksanaan haji dan umrah.
Ia tidak mudah untuk pergi ke Tanah Suci kerana ia memerlukan masa yang lama untuk mengumpul duit disebabkan kos pengangkutan ke sana agak mahal. Mungkin bagi sesetengah orang, mereka hanya mampu pergi ke sana hanya sekali seumur hidup sahaja dan mungkin ada yang hanya mampu melaksanakan umrah sahaja. Oleh itu, umat Islam dinasihatkan supaya sentiasa memastikan bahawa ibadah haji atau umrah yang anda ingin laksanakan ini yakin dilakukan dengan betul berdasarkan ilmu yang telah anda pelajari dan ia sangat rugi sekiranya anda mensia-siakan peluang yang hanya datang sekali seumur hidup ini.
Kewangan
Aspek yang paling penting dalam menyiapkan diri untuk melakukan ibadah haji atau umrah adalah aspek kewangan. Hal ini kerana setiap para jemaah haji atau umrah perlu menyediakan wang yang secukupnya untuk menampung kos penerbangan, makanan, penginapan dan banyak lagi. Mereka perlu menyediakan bekalan wang yang mencukupi untuk ke Tanah Suci Mekah.
Para jemaah haji yang ingin berangkat ke Mekah dengan menggunakan kemudahan Tabung Haji, mereka dapat menggunakan perkhidmatannya kerana ia lebih murah setelah mendapat subsidi daripada pihak kerajaan. Manakala bagi jemaah yang ingin menunaikan ibadah umrah, mereka juga boleh pergi dengan menggunakan kemudahan Tabung Haji atau daripada pihak agensi umrah yang berdaftar.
Sewaktu berada di Tanah Suci Mekah, anda juga perlu menyediakan wang yang secukupnya sebagai persediaan untuk membayar dam bagi yang menunaikan haji dan mengupah orang untuk menolak sekiranya anda tidak mampu berjalan ketika melaksanakan Tawaf dan Saie. Lebihan wang yang ada ini anda boleh gunakan ia untuk membeli belah atau bersedekah kepada fakir miskin.
Dokumen Penting
Anda perlu menyediakan beberapa dokumen penting sebagai salah satu persediaan untuk anda berangkat menunaikan haji atau umrah bagi membenarkan anda dapat menjejakkan kaki ke negara Arab Saudi. Dokumen-dokumen penting yang perlu anda sediakan adalah;
- Passport
- Gambar Visa latar belakang putih
- Imunisasi Vaksin Meningococcal Quadrivalent (ACYW-135)
- Dokumen Perhubungan yang disahkan jika pergi dengan mahram
- Visa – diuruskan oleh agensi
- Insurans Takaful – diuruskan oleh agensi
Anda harus memastikan semua dokumen ini lengkap dan disahkan oleh pihak yang berkaitan. Anda juga digalakkan untuk merujuk pihak agensi bagi mendapatkan info dan keterangan dengan lebih lanjut.
-
Perjumpaan dengan doctor
Bagi jemaah yang mempunyai sejarah penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi atau sebagainya, anda perlu berjumpa dengan doktor terlebih dahulu bagi mendapatkan nasihat berkaitan kesihatan. Anda juga perlu membawa ubat-ubatan yang berkaitan dan sedia maklum kepada mutawaif yang membawa anda ke Tanah Suci Mekah tentang masalah kesihatan yang anda alami. Ubat-ubatan yang biasa seperti Panadol, minyak angina dan sebagainya anda perlu sediakan sendiri jika perlu.
-
Barang kelengkapan diri
Anda juga dinasihatkan untuk membuat persiapan dengan menyediakan barang keperluan harian sendiri seperti pakaian, alatan mandi dan sebagainya. Anda haruslah membawa barang yang perlu sahaja dan tidak berlebihan agar bagasi anda tidak terlalu berat dan memakan ruang bagasi yang lain. Antara barang keperluan asas yang perlu dibawa ialah;
Jemaah lelaki:
- Kain Ihram – 3 helai
- Tali pinggang
- Baju biasa – 2 helai
- Seluar Panjang – 2 helai
- Baju Melayu atau jubah – 2 helai
- Kain pelikat – 2 helai
- Singlet berlengan – 3 helai
- Stokin – 2 pasang
- Selipar – 2 pasang
Jemaah wanita:
- Telekung Solat – 2 pasang
- Baju kurung atau Jubah – 3 helai
- Baju tidur – 2 helai
- Stokin – 3 pasang
- Sarung tangan – sepasang
- Selipar – sepasang
- Kasut – sepasang
Lain-lain (yang berkaitan):
- Alatan mandi
- Tuala
- Sabun basuh baju
- Penyangkut baju
- Penutup muka (mask)
- Sejadah
- Gunting kecil untuk bertahlul
- Tag Nama pada bag
- Botol Spray Wuduk
Bersihkan jiwa
Menjadi tetamu Allah SWT, pastikan hati dan jiwa anda bersih daripada dosa-dosa besar mahupun dosa kecil. Anda juga digalakkan melakukan solat sunat Taubah dan sentiasa memohon keampunan kepada Allah SWT dan sentiasa memohon maaf kepada setiap ahli keluarga dan sahabat anda jika ada melakukan kesalahan.
Selain itu, anda juga haruslah memperbanyakkan amalan-amalan sunat lain seperti solat sunat tahajud, membaca Al-Quran, berzikir dan bersedekah supaya anda terbiasa dengan amalan-amalan ini dan memudahkan anda untuk melaksanakannya jika berada di Tanah suci. Ganjaran yang anda akan perolehi nanti berlipat ganda.
“Dan orang yang paling bertakwa akan dijauhkan dari api neraka, iaitu orang yang menginfakkan hartanya serta menyucikan dirinya.”
(Surah Al-Lail, Ayat 17-18).
Secara konklusinya, perkongsian artikel ini hanyalah sebagai panduan supaya anda boleh amalkan ia jika mampu. Persiapan anda sebelum berangkat menunaikan haji atau umrah memainkan peranan yang penting. Apa yang paling penting adalah niat anda sebagai jemaah haji dan umrah dalam menunaikan ibadah rukun Islam yang terakhir ini adalah semata-mata untuk mencari redha Allah SWT.