Tata Cara Umrah
Tata Cara Umrah – 5 Tips Sebelum Pergi Umrah
Umrah atau Haji merupakan impian setiap Muslim di seluruh dunia. Ianya ibarat satu pencapaian yang paling agung didalam hidup seorang Muslim jika dapat menjejakkan kaki di tanah suci Mekah menjalankan ibadah umrah dan haji. Namun atas kekangan kewangan dan kuota yang terhad, ramai yang memilih melaksanakan umrah berbanding haji kerana kosnya yang lebih rendah dan tiada waktu khusus yang diperlukan. Walaupun begitu, setiap muslim wajib menanamkan hasrat didalam hati untuk melaksanakan haji dan umrah walaupun sekali seumur hidup.
Sejak 1400 masihi,berjuta-juta umat Islam yang akan menjejakkan kaki ke tanah suci bagi melaksanakan umrah bagi melaksanakan suruhan Allah. Hukum melakukan umrah adalah wajib sepertimana haji bagi yang berkemampuan sekali seumur hidup dan sunat untuk dikerjakan berulang kali.
Seandainya terpilih menjadi tetamu Allah pada satu masa, lakukan dengan hati yang tawaduk dan penuh ikhlas. Terdapat beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum menjejakkan kaki ke sana.
- Kursus Umrah
Menghadiri kursus umrah adalah perkara yang paling penting. Cari agensi yang menawarkan kursus umrah dalam pakej anda untuk melengkapkan ilmu berkenaan umrah sebelum menjejakkan kaki ke sana, agar anda boleh bersedia mental dan fizikal.
- Kebiasaannya kursus umrah akan disediakan seawal 2 ke 3 minggu sebelum tarikh berangkat dan
- Anda disarankan untuk mengikuti kursus yang disediakan kerana penjelasan yang lebih lengkap akan disediakan oleh penceramah,
- Tempoh 2 – 3 minggu awal adalah relevan kerana ianya tidak terlalu awal atau terlalu lambat dan mudah diingati dan masa yang cukup untuk persiapan awal.
- Anda boleh merancang perjalanan anda. Hanya mengambil masa separuh hari sahaja selalunya.
- Kemudian anda akan dibekalkan dengan nota dan buku supaya anda boleh membuat bacaan tambahan dan rujukan.
- Kursus Umrah tidak ditawarkan di tabung haji, hanya agensi pelancongan sahaja yang menawarkan kursus umrah secara percuma.
- Pilih Agensi Umrah yang dipercayai
Memilih agensi Umrah yang dipercayai di Malaysia adalah penting sebelum anda melaksanakan umrah. Antara beberapa ciri agensi yang boleh dipercayai di Malaysia adalah seperti berikut :
- Sah dan Berdaftar di Malaysia
Berdaftar dengan Syarikat Suruhanjaya Malaysia (SSM), mempunyai lesen dan permit yang sah contohnya (outbound – membawa jemaah keluar negara) atau permit (inbound – aktiviti pelancongan dalam negara sahaja). Ini adalah penting! - Selidik Agensi Umrah
Lebih baik membuat kajian terhadap agensi yang dipilih seperti cek latar belakang agensi, orang yang terlibat,ulasan pelanggan mereka yang boleh dilihat di media sosial rasmi mereka dan perkhidmatan pelanggan yang baik. Ada agensi yang telah disenarai hitamkan oleh Kerajaan Arab Saudi dan anda dinasihatkan untuk menyemak senarai yang diiktiraf.
- Buat Perbandingan Harga
Bandingkan harga pakej yang ditawarkan dengan perkhidmatan, harga yang
murah tidak boleh dijadikan kayu pengukur kualiti agensi itu. Pastikan pembayaran dilakukan kepada akaun syarikat pengelola umrah bukannya akaun personal dan resit rasmi haruslah disimpan. Cek perkhidmatan asas yang disediakan dalam pakej seperti visa umrah/pelancong, tiket penerbangan dan tempat tinggal.
- Terma dan Syarat
Setiap agensi pengelola umrah mempunyai terma dan syarat yang tersendiri, pastikan anda menyemak dahulu dan sekiranya berlaku pembatalan atau pastikan syarat ganti rugi dinyatakan dengan jelas bagi kedua-dua pihak.
- Timba Ilmu Kerohanian
Penting untuk bersedia mental dan fizikal dan banyakkan ilmu kerohanian. Banyakkan solat sunat, bacaan Al Quran dan latih diri dengan kerap solat jemaah di Masjid. Melaksanakan umrah adalah satu ibadah yang dituntut dan tujuannya adalah melakukan ibadat, maka perhalusi nikmat ibadah itu dengan menguatkan rohani sebelum melakukan umrah.
Perbaiki kualiti solat dan bacaan Al Quran, mulai jaga solat 5 waktu dengan penuh hikmah dan ajar diri untuk sentiasa berjemaah di Masjid atau surau. Banyak kes yang dikongsikan di laman sosial tentang perlaksanaan umrah menjadi susah kerana tiada ilmu rohani yang cukup. Elakkan ibadah umrah anda menjadi pelancongan biasa. Satu kerugian besar.
- Persiapan Jasmani/Fizikal
Perkara yang perlu diambil peduli adalah persiapan jasmani. Melakukan umrah
memerlukan stamina yang agak stabil atau kuat terutamanya saat melakukan “Saei” dan “Tawaf”. Saei sendiri memerlukan berjalan kaki dalam 2km atau lebih, (bagi yang tua ada khidmat “teksi Saei” yang disediakan).
Dengan orang yang ramai dan ibadah yang dilakukan memerlukan tenaga yang kuat, jadi lebih baik mulakan latihan stamina seperti banyakkan berjalan ditaman, berjoging jika mampu sebulan sebelum berangkat. Banyak kes di sana yang melibatkan orang-orang tua yang tidak dapat melakukan ibadah umrah dengan sempurna kerana terlalu lemah, kurang penglihatan, tiada saudara/rakan yang boleh membantu. Sementara masih muda dan berkemampuan, elok lah kiranya anda pergi melaksanakan umrah seawal yang boleh.
- Keadaan dan cuaca di Mekah dan dokumen yang perlu
Oleh kerana cuaca di Mekah berbeza dengan di Malaysia, maka perlu diambil tahu keadaan cuaca di sana, adakah sedang mengalami musim panas, hujan, atau sejuk supaya anda boleh membawa pakaian dan kelengkapan yang sesuai dengan cuaca. Contohnya pada hujung tahun selalunya cuaca di Mekah adalah musim sejuk, jadi anda perlu membawa pakaian yang sesuai dengan musim sejuk.
Oleh kerana ibadah umrah adalah melintasi negara-negara lain maka segala jenis dokumen harus disediakan untuk mengelakkan sebarang masalah. Jika anda perlu membawa ubat-ubatan pastikan anda membawa preskripsi doktor bersama.
Senarai dokumen yang wajib dibawa :
- Passport Antarabangsa
- Gambar visa
- Surat/buku suntikan Meningitis dan vaksin yang diperlukan
- Salinan surat nikah (bagi pasangan berkahwin)
- Kad Pengenalan dan lain-lain ID.
(anda boleh rujuk kepada agensi yang anda pilih untuk senarainya)
Kesimpulannya
Menjadi insan yang terpilih menjalani ibadah yang dituntut ini adalah satu hadiah dan nikmat oleh Allah. Ambil ibrah dari pengalaman Nabi dan Rasul terdahulu supaya tujuan umrah sentiasa kerana Allah bukan kerana hanya ingin melancong. Jadikan peluang yang ada dengan benar-benar menghayati maksud umrah dan pastikan anda benar-benar membuat persiapan dari segi rohani dan fizikal. Diharapkan dengan tips yang diberikan akan sedikit sebanyak membantu anda membuat persediaan lengkap sebelum anda melakukan umrah. Semoga mendapat umrah yang mabrur.