Umrah – Apa Yang Setiap Muslim Harus Tahu
Apakah Maksud Umrah
Umrah dalam bahasa Arab “al-i’timar” yang membawa makna ziarah. Dari segi syara’ pula Umrah bermaksud menziarahi Tanah Haram (Baitul Haram) pada bila-bila masa sahaja untuk melaksanakan ibadah-ibadah tertentu yang dituntut. Dalam pengertian seorang Muslim, umrah membawa maksud Haji kecil. Walaupun begitu ada waktu yang tidak boleh melakukan umrah iaitu masa berihram haji sehingga selesai hajinya.
Hukum umrah adalah wajib pada yang berkemampuan dan memenuhi syarat. Umrah wajib dilaksanakan sekali seumur hidup dan sunat lakukan berkali-kali jika berkemampuan.
Dalil sahih daripada Al Quran ialah firman Allah Taala didalam surah Al Baqarah 196)
“Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah Taala”
Ihram (Pakaian Semasa Umrah)
Ihram bermaksud haram, dalam haji ataupun umrah ihram boleh didefinisikan sebagai sesuatu perkara yang haram dilakukan ketika melakukan umrah atau Haji. Etika pakaian ihram adalah bagi lelaki tidak dijahit dan tidak dicantumkan (rujuk gambar), disunatkan berwarna putih. Dan wajib dipakai apabila bermula miqat (sempadan).
Sebelum memakai pakaian Ihram dan boleh bersiap-siap dengan perkara sunat yang lain seperti memotong kuku, bulu-bulu lain, merapikan janggut dan misai dan mandi sunat. Kemudian boleh berpakaian ihram :
- Lelaki – 2 helai kain lepas untuk menutup auratnya antara pusat dan lutut dan satu lagi untuk jadikan selendang.
- Perempuan – pakaian yang menutup seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan.
Rukun Umrah
Ibadah umrah dilakukan mengikut rukun yang ditetapkan, rukun bermaksud perkara yang wajib dilakukan, jika satu dari rukun umrah di tinggalkan maka umrah adalah tidak sah. Jadi penting untuk mengetahui rukun-rukun umrah yang dituntut. Ada 5 rukun umrah untuk dihadam:
Berniat Ihram Umrah
Untuk jemaah yang ingin melakukan umrah, hendaklah dimulai dengan memasang niat ihram umrah di Miqat (sempadan). Bagi wanita yang sedang dalam haid juga perlu berniat ihram bila sampai di Miqat nanti. Sekiranya tidak berniat ihram masa sampai di Miqat, maka dia perlu membayar dam (denda).
Tawaf Kaabah
Maksud tawaf ialah mengelilingi kaabah sebanyak 7 kali pusingan dengan syarat yang ditetapkan seperti tempat memulakan pusingan tawaf adalah Hajar Aswad dan berakhir di Hajar Aswad juga. Ada beberapa syarat sah tawaf iaitu menutup aurat, suci dari hadas besar dan kecil, mengekalkan niat tawaf dan cukupkan 7 pusingan.
Sai’e
Sai’e pula bermaksud berjalan berulang alik atau berlari-lari anak diantara Bukit Safa dan Bukit Marwah sebanyak 7 kali. Bagi yang sudah uzur atau mempunyai masalah kesihatan dibolehkan menggunakan kerusi roda. Sai’e dilakukan selepas mendapat tawaf yang sempurna.
Bertahallul (Bergunting atau bercukur)
Rukun Umrah yang ke empat ialah bergunting atau bercukur. Memadai dengan sekurang-kurangnya tiga helai rambut namun sunat bercukur bagi jemaah lelaki. Dilakukan selepas Sai’e. Diingatkan untuk melakukan gunting atau bercukur selepas Sai’e yang lengkap. Jangan terpedaya dengan kanak-kanak yang menawarkan khidmat bercukur di Bukit Marwah sebelum lengkap Sai’e.
Tertib
Mengikut urutan ibadah yang ditetapkan iaitu bermula dengan niat ihram, tawaf, sai’e dan bertahalul.
Pakaian Umrah bagi lelaki dan perempuan
Syarat- Syarat Umrah
Setelah mendapati anda berkemampuan dan ingin melakukan ibadah umrah, pastikan anda cukup syarat-syarat yang ditetapkan. Ada 5 syarat wajib umrah yang telah digariskan oleh Islam. Antara syarat-syaratnya ialah :
- Islam
- Baligh (cukup umur)
- Berakal (Tidak gila)
- Merdeka (bukan hamba abdi)
- Kemampuan atau istito’ah (berkemampuan untuk diri sendiri dan meninggalkan nafkah yang cukup buat tanggungannya, dan sihat tubuh badan)
10 Larangan dalam Ihram
- Memakai pakaian berjahit kecuali wanita
- Menutup kepala bagi lelaki dan menutup muka bagi wanita.
- Memotong atau mencabut rambut
- Memakai wangi-wangian
- Berburu binatang yang halal dimakan
- Memotong pokok-pokok yang tumbuh ditanah haram
- Nikah atau menikahkan orang
- Bersentuhan dengan syahwat
- Bersetubuh
Jika larangan ini dilanggar makan wajib membayar dam iaitu menyembelih seekor
kambing atau puasa 3 hari atau sedekah 3 gantang makanan asas kepada 6 fakir miskin.
Prosedur Mengerjakan Umrah Di Malaysia
Bagi mengelakkan berlakunya masalah, setiap agensi akan memberikan senarai kepada setiap jemaah untuk dokumen yang diperlukan oleh pihak Arab Saudi. Antaranya ialah :
- Pasport Antarabangsa yang sah
- Gambar untuk visa umrah 4 keping
- Buku/surat suntikan meningitis ACYW135
- Bagi jemaah lelaki /perempuan yang dibawah umur 18 tahun mesti hadir bersama ibu dan bapa (atau penjaga yang sah bersama surat)
- Jemaah wanita umur 45 tahun kebawah tidak dibenarkan untuk memohon visa “Women Group”, hanya umur 46 tahun keatas sahaja dibenarkan.
- Surcaj visa SR 300 (pertama kali atau berulang-ulang)
- Surat Kebenaran (consent letter) hanya dari sebelah bapa kandung sahaja.
Syarat Baru Oleh Kedutaan Arab Saudi:
- Orang gaji (warga asing di Malaysia) yang ingin melakukan umrah perlulah meletakan nama majikan lelaki.
- Orang gaji boleh pergi umrah dengan majikan atau ahli keluarga sendiri yang ada di Malaysia. Tak boleh pergi seorang diri walaupun umur 45 tahun keatas.
Kesimpulan
Secara kesimpulannya, ibadah umrah harus dilakukan dengan niat beribadah kepada Allah S.W.T dan bukannya hanya pergi melancong. Hanya beberapa jam sahaja yang diperlukan untuk melakukan umrah dan ajari hati untuk sentiasa melakukan ibadah ini dengan penuh rendah hati. Bagi yang berkemampuan dan sering kali pergi ke Umrah, moga anda dapat membantu orang yang tidak berkemampuan merasai kemanisan ibadah ini. InsyaAllah.